PGA gagalkan cubaan seludup 4,000 orkid bernilai RM2 juta

PGA gagalkan cubaan seludup 4,000 orkid bernilai RM2 juta

Pokok orkid berkenaan dipercayai cuba diseludup masuk ke pasaran tempatan dari negara jiran.

Tanaman berkenaan disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit yang boleh mengancam sektor pertanian negara, menurut Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid. (Gambar PGA)
KOTA BHARU:
Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup lebih 4,000 pokok orkid yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran di Kampung Parit Air, Rantau Panjang, Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kejayaan itu susulan pemantauan rapi Op Taring Wawasan Kelantan sebelum PGA menahan sebuah lori kira-kira 1 tengah hari.

“Hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu menemukan kesemua pokok orkid terbabit yang dipercayai cuba diseludup masuk ke pasaran tempatan.

“Tanaman itu juga disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit yang boleh mengancam sektor pertanian negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemandu lori itu iaitu seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun dan dipercayai bertindak sebagai penghantar kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 5 Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.