Negeri tidak lebih baik, penganalisis ragu potensi MB PAS jadi PM

Negeri tidak lebih baik, penganalisis ragu potensi MB PAS jadi PM

Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak menunjukkan perbezaan lebih baik berbanding negeri ditadbir PH dan Umno.

Penganalisis ragui dakwaan Shukri Ramli, Sanusi Nor, Nassuruddin Daud, dan Ahmad Samsuri Mokhtar berpotensi sebagai calon perdana menteri.
PETALING JAYA:
Penganalisis meragui dakwaan empat menteri besar PAS berpotensi diketengahkan sebagai calon perdana menteri, berdasarkan keadaan di negeri masing-masing.

Ahli Majlis Profesor Negara (MPN) Azmi Hassan berkata Perlis yang ditadbir Shukri Ramli, Kedah (Sanusi Nor), Kelantan (Nassuruddin Daud), dan Terengganu (Ahmad Samsuri Mokhtar) tidak menunjukkan perbezaan lebih baik apabila dibandingkan dengan negeri ditadbir Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

Malah, beliau percaya orang ramai tidak akan sepenuhnya bersetuju dengan pilihan tersebut.

“Ia akan menakutkan mereka yang nak sokong Perikatan Nasional (PN) kerana Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dipimpin empat menteri besar ini tak menunjukkan apa-apa perbezaan dan perubahan yang lebih baik,” katanya.

Nama Shukri, Sanusi, dan Nassuruddin diajukan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhamad Hafis Alias, semalam, ketika mengulas pandangan penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengenai calon PAS yang berpotensi menjadi perdana menteri.

Syaza Shukri menamakan Samsuri, yang pernah diuar-uarkan sebagai individu berpotensi menjadi perdana menteri ketika PRK Parlimen Kemaman pada Disember 2023.

Hafis mendakwa PAS tidak lagi ketandusan kepimpinan malah memerintah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu ‘dengan prestasi sangat cemerlang’.

Syaza ketika dihubungi mempertahankan pilihan beliau atas dasar populariti dan penerimaan orang ramai pada Samsuri.

Selain Samsuri, katanya, PAS mungkin memerlukan beberapa tahun lagi untuk melahirkan calon popular seperti menteri besar Terengganu itu.

“Kalau tanya dalam PN, mungkin Azmin Ali (setiausaha agung Bersatu),” katanya.

Lau Zhe Wei, seorang lagi penganalisis dari UIAM berkata di antara empat individu itu hanya Samsuri yang mempunyai imej profesional dan popular.

Beliau berkata PAS akan cuba ketengahkan seorang teknokrat yang dilihat mampu mentadbir kerajaan, bagi meraih keyakinan orang ramai.

Mengambil contoh presiden PAS, Lau berkata: “PAS mungkin sedar kalau Hadi Awang jadi calon perdana menteri, dia dilihat bukan teknokrat, mungkin tak pandai tadbir nagara, memang pakar bidang Islam tapi bukan pentadbiran negara.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.