
Pengarah Jabatan Pilihan Raya dan Pendemokrasian Pemuda Bersatu, Izhar Shah Arif Shah, berkata sebagai langkah semak dan imbang, pembangkang berhak membuat persiapan dan menilai kemungkinan politik yang sedang berlaku.
“Kenyataan wakil rakyat kerajaan yang menuduh Bersatu tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong kerana bercakap soal PRU mengejut adalah satu percubaan murahan untuk memesongkan perhatian rakyat daripada kegagalan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Izhar berkata menjadi tanggungjawab parti politik untuk membuat persiapan bagi menghadapi PRU, sambil menegaskan tidak akan tunduk kepada taktik murahan kerajaan untuk cuba menutup kegagalan mereka memainkan sentimen tidak berasas.
“Jika mereka yakin bahawa mandat rakyat masih bersama mereka, mengapa perlu takut dengan perbincangan mengenai PRU?,” soal Adun Seberang Jaya itu.
Semalam, empat Ahli Parlimen daripada parti kerajaan perpaduan membidas Bersatu yang meneruskan dakwaan kononnya PRU mengejut mungkin diadakan tahun ini walaupun penggal pentadbiran kerajaan perpaduan hanya tamat pada 2027.
Mereka mendakwa hantaran Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali di media sosial berhubung perkara itu sebagai tidak bertanggungjawab dan bertujuan menggugat kestabilan politik.
Agong dalam titahnya pada 26 Feb tahun lalu, menegaskan baginda tidak akan melayan sebarang permintaan dari pihak cuba mengganggu gugat kestabilan politik negara, selain meminta pembentukan kerajaan perpaduan dihormati.
Jumaat lalu, dalam hantaran di Facebook, Azmin berkata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengarahkan jentera parti itu digerakkan segera bagi menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini.
Menurutnya, arahan itu dikeluarkan dalam mesyuarat Bersatu yang turut membincangkan ‘perkembangan amat meyakinkan’ hasil pertemuan kepimpinan tertinggi Bersatu dan PAS, pada Rabu lalu.