
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata ketika kejadian, suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an itu juga disyaki bawah pengaruh dadah.
“Bagaimanapun, motif sebenar tiada (dikenal pasti) lagi,” katanya selepas mengiringi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ke Majlis Perasmian dan Pelancaran Perayaan 60 Tahun Silat Cekak Pusaka Hanafi di Wisma Radio RTM.
Beliau berkata demikian ketika ditanya perkembangan siasatan tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam pada 10.50 malam semalam yang menyebabkan seorang pekerja pembersihan cedera.
Menurutnya, siasatan lanjut dan usaha mengesan suspek giat dilakukan polis Selangor dengan bantuan Bukit Aman dan beliau yakin kes itu dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, hari ini dilaporkan berkata suspek diburu itu lelaki tempatan berumur 30-an, berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.
Kes disiasat bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.