
Pengamal teknologi maklumat itu berkata beliau menyokong langkah parti menggunakan teknologi dalam meraikan proses demokrasi seiring peredaran masa sejak 2019 bermula penggunaan komputer diikuti undi dalam talian.
Namun katanya penggunaan teknologi ‘blockchain’ dan AI pada pemilihan parti di semua peringkat pada April serta Mei perlu difahami cabaran dan dilihat perbezaannya.
Menurut Rizal, sistem pengurusan aliran kerja pemilihan PKR yang bermula daripada pendaftaran pengundi atau ahli sehingga proses pengundian selesai berbeza dengan ‘blockchain’ yang membolehkan transaksi di antara sistem melibatkan pangkalan data yang berbeza.
“‘Blockchain’ membabitkan pelbagai pihak dan penyelarasan dari segi standard keselamatan, setiap tahap ada kawalan jejak keselamatannya sendiri tetapi ini tidak berlaku bagi aliran sistem pengurusan (pemilihan PKR) dimana hanya satu sistem yang terlibat dan berkemungkinan hanya satu pangkalan data berpusat bagi penyimpanan data.
“AI pula satu sistem lagi kompleks yang boleh selesaikan masalah secara sendiri, apa sahaja masalah berlaku dalam proses katalah dalam pendaftaran anggota sehingga pengundian semua dikendalikannya, bukan semata-mata tahap tertentu contohnya pengesahan tanpa melibatkan proses manual.
“Kalau ada AI digunakan pun hanya dalam pengesahan biometrik, di bidang perbankan telah lama digunakan,” katanya yang juga pengamal data analitik serta sains data itu kepada FMT.
“Saya sokong guna tetapi jangan terlalu gembar-gemburkan (over hype) penggunaan teknologi itu tanpa memahami, perbezaan antara AI vs ‘biometric verification’ dan ‘blockchain’ vs ‘workflow management system’.”
Baru-baru ini, Setiausaha Agung Fuziah Salleh dilaporkan berkata PKR akan menggunakan teknologi AI dan ‘blockchain’ untuk melancarkan dan memastikan pengundian berlangsung secara telus.
Fuziah dipetik berkata proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) akan diperkenalkan yang memerlukan ahli PKR mengimbas MyKad bersama wajah untuk mengesahkan keahlian, selain kemas kini nombor telefon untuk menerima kod pengesahan (OTP) bagi mengundi.
Pertandingan bagi jawatan majlis pimpinan pusat, Pemuda dan Wanita akan berlangsung 24 Mei depan, manakala pemilihan peringkat bahagian pula ditetapkan 11 hingga 20 Apr.