MISI perkasa pemandu trak dengan sijil profesional

MISI perkasa pemandu trak dengan sijil profesional

HRD Corp kata sambutan yang menggalakkan mencerminkan permintaan kukuh untuk kursus logistik khusus.

Pengerusi pasukan petugas khas Mitra, P Prabakaran (lapan dari kiri) bersama peserta program latihan MISI bagi pemandu trak di Klang semalam. (Gambar HRD Corp)
PETALING JAYA:
Program peningkatan kemahiran bagi komuniti India iaitu Malaysian Indians Skills Initiative (MISI) menggiatkan pemerkasaan tenaga kerja dengan melengkapkan pemandu trak dengan kemahiran bernilai tinggi, agar mereka peroleh pendapatan lumayan dan keterjaminan pekerjaan yang lebih baik.

Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) dalam kenyataan berkata pemandu yang lulus program latihan pemandu barangan berbahaya selama tiga hari di Klang akan dapat menceburi bidang keusahawanan, mendapatkan pekerjaan di firma logistik terkemuka, atau menaiki tangga kerjaya ke peranan pengurusan.

Pensijilan itu, yang diiktiraf oleh Institut Logistik dan Pengangkutan Bertauliah (CILT), selaras dengan keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta piawaian keselamatan antarabangsa.

Latihan yang bermula semalam itu akan dijalankan semula pada 15 Feb sebelum berakhir pada 22 Feb.

Program itu inisiatif yang diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia melalui HRD Corp, yang berkata sambutan yang menggalakkan mencerminkan permintaan kukuh untuk kursus logistik khusus.

HRD Corp juga berkata bilangan peserta yang ramai mengesahkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kemahiran dan memperkasa individu-individu yang berbakat daripada komuniti India.

Seorang peserta, V Kalaiselvan, 29, amat menghargai peluang menyertai latihan ini.

“Mencari kerja memang sukar tetapi program ini beri saya harapan,” kata Kalaiselvan, yang mencari pekerjaan tetap sejak enam bulan lalu.

D Devandran pula membuat perjalanan dari Ipoh untuk mengikuti kursus ini.

Beliau yang berusia 38 tahun bekerja sebagai pekerja gig sejak tiga tahun lalu, dan yakin latihan ini akan membantu kemajuan kerjayanya.

Menteri Sumber Manusia Steven Sim pada Mei lalu mengumumkan RM30 juta yang disediakan untuk kementerian melaksanakan MISI akan disalurkan ke program-program peningkatan kemahiran untuk belia komuniti India.

Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, yang juga pengerusi Jawatankuasa Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), menghadiri majlis pembukaan kursus ini semalam.

Wakil rakyat itu berkata kursus ini satu lagi peristiwa dalam matlamat Misi untuk melengkapkan pemandu trak dengan pensijilan dan kepakaran yang penting untuk kemajuan kerjaya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.