KPN arah kawalan dipertingkat di pusat beli-belah, lokasi tumpuan

KPN arah kawalan dipertingkat di pusat beli-belah, lokasi tumpuan

Razarudin Husain mengulas insiden lapan das tembakan mencederakan seorang pekerja pembersihan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, malam tadi.

Inspector-General of Police Razarudin Husain
Ketua Polis Negara Razarudin Husain, berkata anggota polis dan pengawal keselamatan di lokasi berkenaan diarah waspada ke atas apa jua aktiviti mencurigakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua polis negara mengarahkan kawalan keselamatan pusat beli-belah dan lokasi tumpuan awam di seluruh negara diperketat susulan kes tembakan di Setia Alam, Shah Alam, malam tadi.

Razarudin Husain berkata, anggota polis bantuan dan pengawal keselamatan di lokasi berkenaan telah diarah sentiasa waspada ke atas apa jua aktiviti mencurigakan.

“Berkenaan kejadian semalam, polis Selangor telah mengenal pasti suspek dan pelbagai elemen polis sedang berada di lapangan untuk mengesan keberadaannya.

“Kami juga telah memaklumkan kepada polis di negeri-negeri jiran serta pihak berkuasa di sempadan untuk turut berwaspada,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau memberi jaminan keselamatan orang awam menjadi keutamaan dan segala usaha sedang dilakukan bagi membawa suspek ke muka pengadilan.

“Kami faham bahawa timbul kebimbangan dalam kalangan masyarakat susulan kes ini, namun kami berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan keresahan,” katanya.

Malam tadi, seorang pekerja pembersihan sebuah pusat beli-belah di Setia Alam cedera ditembak. Suspek warga tempatan berusia lewat 30-an dipercayai melepaskan sekurang-kurangnya lapan das tembakan, dalam kejadian pada 10 malam.

Suspek kemudian melarikan diri dengan menahan sebuah kenderaan dan memaksa pemandu kenderaan itu membawanya keluar dan mengarahkan diturunkan di tepi jalan sekitar Lebuhraya Shah Alam (Kesas).

Polis sudah mengenal pasti suspek menerusi risikan polis dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan gerakan mengesan sedang giat dilakukan.

Suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.