
Madeline Berma, felo Akademi Sains Malaysia, berkata dasar dan program dirangka Putrajaya masa lalu mempunyai input terhad dari Sabah dan Sarawak, yang mana memberi kesan buruk kepada ekonomi kedua-dua negeri.
“Ini kerana masyarakat Bumiputera di dua negeri itu pelbagai dan berdepan realiti sosioekonomi berbeza,” katanya kepada FMT.

Sejak 70-an, Malaysia melaksanakan pelbagai dasar pembangunan, termasuk Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pembangunan Nasional, dan Dasar Wawasan Negara 2020, kata Madeline.
Beliau berkata, ia telah melepasi dan berlanjutan dalam Rancangan Malaysia, yang kini masuk kali ke-13.
Madeline berkata, inisiatif tersebut menyumbang pengurangan kemiskinan dan merapatkan jurang kesaksamaan antara etnik, pencapaian yang jika tidak kerana krisis kewangan 1997, mampu membawa Malaysia ke status Harimau Asia setaraf Taiwan, Korea Selatan, Singapura, dan Hong Kong.
“Walaupun ia berjaya, jurang antara kawasan luar bandar dan bandar termasuk antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak meluas.
“Dasar sedia ada tidak lagi cukup menangani cabaran ekonomi baharu ini,” katanya.
Madeline mengulas pemerhatian dibuat ahli ekonomi kanan Bank Dunia, Ririn Salwa Purnamasari, menyatakan keterjaminan ekonomi Bumiputera berkembang pesat sejak dua dekad lalu, walaupun kemajuan itu tidak dirasai saksama di Malaysia Timur.
Ririn berkata, hampir 30% Bumiputera kini dianggap terjamin ekonominya, berbanding kurang 5% pada awal 2000an.
Beliau berkata, kemajuan dicapai ketika ini banyak dinikmati Bumiputera di Semenanjung, namun tidak di Malaysia Timur.
Madeline berkata, peruntukan kewangan khas dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tidak secara konsisten dilaksanakan atau disemak sekian lama.
Katanya, walaupun usaha terbaharu dibuat dengan meningkatkan peruntukan kepada Sabah dan Sarawak, masalah struktur berterusan, sambil menambah rakyat kedua-duanya dipinggirkan kerana kurang diwakili di perkhidmatan awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dan program biasiswa.
Madeline menyeru penurunan kuasa bagi pemerkasaan Sabah dan Sarawak. Beliau berkata, MA63 mesti dipenuhi dan peruntukan pendidikan, penjagaan kesihatan, kesalinghubungan, dan infrastruktur kepada dua negeri itu mesti dipertingkat.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, menggesa dasar ekonomi baharu dirangka khusus kepada Bumiputera Sabah dan Sarawak. Katanya, pelaksanaannya akan memastikan kemajuan di dua negeri Borneo berkenaan.
“Kita perlu memastikan dasar ekonomi khusus ini bermanfaat kepada penduduk tempatan (di Malaysia Timur), bukan golongan atasan.”

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sabah Firdausi Suffian, berkata negeri itu mungkin memerlukan sehingga 10 tahun bagi merapatkan jurang pendapatan antara Semenanjung dan Malaysia Timur.
Beliau berkata, kemajuan berlangsung berperingkat walaupun insentif khas kepada Sabah dan Sarawak dalam Belanjawan 2025, selain kenaikan gaji minimum kepada RM1,700, membantu mempercepat proses tersebut.
Katanya, Malaysia Timur perlu kepada lebih pelaburan bagi mengstruktur semula ekonominya.
“Jika keutamaan diberikan kepada dua negeri, kita mampu merapatkan jurang dengan lebih pantas antara Bumiputera di Semenanjung dengan mereka di Sabah dan Sarawak.”