
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata polis menerima aduan seorang pengurus 42 tahun mendakwa melabur RM2.5 juta dalam pelaburan itu kelmarin.
Menurutnya, mangsa menyertai pelaburan itu sejak Ogos 2024 selepas melihat iklan di Facebook yang menawarkan pulangan 10% hingga 50%.
“Bagi tujuan pelaburan, mangsa membuat 26 transaksi bayaran ke 14 akaun bank dengan keseluruhan pelaburan RM2,560,000 atas nama syarikat dan perniagaan berbeza.
“Selepas membuat bayaran, mangsa dapat melihat akaun pelaburannya menjana keuntungan, namun dia diarahkan membuat pelbagai bayaran apabila ingin mengeluarkan wang,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, 44 laporan polis diterima berkaitan skim penipuan pelaburan UVKXE membabitkan kerugian keseluruhan RM33,075,511.50 setakat ini.
“Mana-mana individu yang telah menyertai skim pelaburan itu dinasihat menghentikan sebarang urusan pembayaran kepada syarikat terbabit.
“Segera tampil ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan bagi tujuan siasatan,” katanya yang memaklumkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ramli mengingatkan orang ramai dalam hampir semua kes pelaburan kononnya berasaskan mata wang kripto yang dilaporkan sebenarnya langsung tidak membabitkan pelaburan sedemikian.
“Sebaliknya, pelabur hanya diperdaya melalui paparan di laman sesawang mengenai laba diperoleh sehingga ada yang mencecah puluhan juta ringgit.
“Sindiket menggunakan teknologi terkini memperdaya mangsa sehingga menyebabkan mangsa mempercayai mereka mendapat keuntungan.”
Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dan menyemak lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan, khasnya yang menjanjikan keuntungan terlalu lumayan.
“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti Portal Semak Mule CCID, senarai amaran dikeluarkan Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti”.