
Pengarah JPVPP, Dr Saira Banu Rejab, berkata sepasukan anggotanya ke lokasi kejadian, tetapi tidak menemui sebarang bangkai kucing seperti dilaporkan.
Menurut laporan polis, pengadu menemui 10 bangkai kucing dibungkus dalam beg plastik hitam yang dibuang di tong sampah besar tepi jalan Jelutong. FMT semalam melaporkan pegawai polis dan veterinar ke sebuah tempat perlindungan haiwan Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan susulan dakwaan itu.
Saira berkata, polis merujuk kes itu kepada jabatannya pagi Jumaat lalu.
“Kami terus ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan, namun tiada bangkai kucing ditemui di situ. Oleh itu, kami tidak boleh menjalankan bedah siasat untuk menentukan punca kematian, tetapi siasatan lanjut sedang diteruskan,” katanya ketika dihubungi.
Semalam, polis dilaporkan berkata, seorang lelaki 49 tahun membuat laporan mendakwa bangkai kucing ditemui dalam tong sampah. Klip video dikongsi secara meluas menunjukkan bangkai lebih 10 ekor kucing dibungkus dengan beg plastik hitam dalam tong sampah.