MEF, MTUC tolak cadangan gaji minimum ikut negeri

MEF, MTUC tolak cadangan gaji minimum ikut negeri

Kedua-dua kumpulan itu berkata dasar sedemikian akan menimbulkan pelbagai isu.

sop kilang
Persekutuan Pekilang Malaysia baru-baru ini menggesa pelarasan gaji minimum berdasarkan model mengikut negeri atau serantau untuk mencerminkan realiti ekonomi tempatan dengan lebih berkesan.
PETALING JAYA:
Kumpulan majikan dan kesatuan sekerja menolak gesaan pelaksanaan gaji minimum mengikut negeri, dengan mengatakan bahawa dasar itu akan menimbulkan banyak isu.

Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Syed Hussain Syed Husman, berkata walaupun cadangan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) kelihatan kukuh secara teori, pelaksanaannya ‘akan bermasalah’.

Syed Hussain berkata gaji minimum mengikut negeri akan mewujudkan padang permainan yang tidak sekata, memberikan kelebihan kepada negeri bergaji rendah berbanding mereka yang mempunyai paras lebih tinggi.

Beliau berkata pelaksanaan dasar itu memerlukan kajian mendalam tentang faktor serantau sebelum pelarasan dibuat, meningkatkan beban pentadbiran perniagaan dan pihak berkuasa.

Sistem gaji yang tidak seragam, tambahnya, akan membawa kepada perbezaan gaji, menyebabkan penghijrahan pekerja dan kekurangan buruh di negeri-negeri dengan gaji minimum yang lebih rendah.

“Sebagai contoh, jika pekerja di Johor mendapat gaji setanding dengan warga Singapura, ramai (dari negeri Malaysia lain) akan berpusu-pusu ke Johor,” katanya kepada FMT.

Syed Hussain berkata MEF memihak kepada pendekatan kerajaan terhadap dasar gaji minimum nasional yang seragam mengikut saranan yang dibuat oleh Majlis Perundingan Gaji Negara.

“Bagaimanapun, mungkin terdapat pelarasan berkala berdasarkan petunjuk ekonomi seperti inflasi, peningkatan produktiviti, kadar pekerjaan, indeks garis kemiskinan dan keupayaan majikan untuk membayar.”

Pada 31 Jan, FMM mencadangkan pelarasan gaji minimum masa hadapan mempertimbangkan model mengikut negeri atau serantau untuk mencerminkan realiti ekonomi tempatan dengan lebih baik.

Presidennya Soh Thian Lai berkata kadar itu harus mengambil kira keperluan untuk mengimbangi gaji pekerja dengan inflasi dan pergerakan harga pengguna.

Beliau berkata pendekatan sekarang yang menyaksikan gaji minimum ditetapkan pada RM1,700 boleh membebankan perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana di kawasan kurang maju.

Bagaimanapun, Effendy Abdul Ghani dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)berkata pelaksanaan gaji minimum mengikut negeri boleh membawa kepada penindasan gaji, dengan majikan di negeri bergaji rendah mengekalkan gaji sedia ada dengan alasan tidak mampu.

“Ini boleh meluaskan ketidaksamaan ekonomi dan menyebabkan pekerja di negeri tertentu bergelut untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan, pengangkutan dan penjagaan kesihatan, yang mungkin tidak jauh lebih murah di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau juga berkata terdapat risiko syarikat berpindah ke negeri bergaji rendah untuk mengurangkan kos buruh, membawa kepada kehilangan pekerjaan di negeri bergaji lebih tinggi.

Effendy berkata gaji minimum negara harus memastikan semua pekerja menerima pendapatan bermaruah tanpa mengira lokasi. Beliau mencadangkan agar kerajaan melihat gaji minimum berperingkat yang merangkumi perlindungan yang kukuh untuk pekerja.

“Di luar pelarasan gaji minimum, pekerja sepatutnya berhak mendapat elaun kos sara hidup (Cola) untuk mengambil kira inflasi dan perbezaan harga serantau.”

Beliau berkata Cola akan memastikan kuasa beli pekerja kekal stabil terutama di kawasan bandar kos tinggi seperti Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Selain itu, majikan juga harus digalakkan untuk menyediakan elaun tambahan seperti pengangkutan, perumahan dan makan, khususnya di kawasan yang kos sara hidup lebih tinggi, katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.