
Di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 721 orang daripada 212 keluarga berbanding 695 orang daripada 189 keluarga pagi tadi.
Walaupun PPS di Keningau sudah ditutup dan semua mangsa dibenarkan pulang, namun jumlah mangsa di Beaufort dan Kinabatangan semakin bertambah dan trend pemindahan mangsa ke PPS meningkat.
“Seramai 430 orang (137 keluarga) ditempatkan di tiga PPS di Beaufort, 278 orang (71 keluarga) di dua PPS Kinabatangan dan 13 orang daripada empat keluarga di Tambunan.
“Enam PPS di Sabah dibuka melibatkan tiga daerah, iaitu tiga PPS di Beaufort, dua di Kinabatangan dan satu PPS di Tambunan,” menurut kenyataan itu.
Di Sarawak, keadaan semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir terus menurun kepada 3,454 orang berbanding 3,921 orang pagi tadi, kata Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak.
Pada masa sama, masing-masing satu PPS di Sibu dan Sarikei ditutup, menjadikan 19 PPS masih beroperasi di negeri itu.
Sekretariat itu turut memaklumkan jumlah mangsa di Bintulu menurun kepada 1,836 orang berbanding 1,868 orang di lima PPS sebelum ini, manakala di Sibu pula berkurangan kepada 737 orang di lima PPS berbanding 983 orang pagi tadi.
Di Mukah, jumlah mangsa banjir menurun kepada 607 orang berbanding 614 orang sebelum ini, sama juga di Miri yang menunjukkan penurunan kepada 274 orang berbanding 443 orang pagi tadi.