Berlebih isu Gaza tak jejas sokongan Anwar, kata penganalisis

Berlebih isu Gaza tak jejas sokongan Anwar, kata penganalisis

Bagaimanapun, James Chin dan Azmil Tayeb berkata keseimbangan antara isu antarabangsa dan domestik perlu dicapai.

anwar ibrahim palestin
Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata Malaysia akan memulakan usaha membangunkan semula Gaza dengan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis menolak tanggapan rancangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk membantu membangunkan semula Gaza akan menjejaskan kepimpinannya, namun menegaskan keseimbangan antara isu antarabangsa dan domestik perlu dicapai.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, langkah Anwar untuk membantu membangunkan semula wilayah yang musnah akibat peperangan itu boleh mengukuhkan sokongannya dalam kalangan masyarakat Islam.

“Saya berpendapat pendirian Anwar terhadap perjuangan Palestin sangat popular dalam kalangan penduduk Islam di Malaysia, dan penduduk Islam adalah majoriti di negara ini,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, Chin berkata, tindak balas negatif mungkin timbul jika keadaan ekonomi semakin merudum dan ringgit terus lemah, kerana rakyat akan menuduh Anwar lebih memberi tumpuan kepada Palestin dan mengabaikan isu dalam negara.

“Jadi, itu bahaya yang jelas. Beliau perlu mengimbangi perkara ini ketika mengusahakan isu Palestin,” katanya, sambil menambah ekonomi ‘masih bermasalah’ ketika negara belum pulih sepenuhnya daripada kesan pandemik Covid-19.

Chin juga berkata, usaha Anwar membantu Palestin boleh menjejaskan sokongan bukan Islam, yang mungkin merasakan perdana menteri cuba mengukuhkan kedudukannya dalam kalangan orang Islam dan tidak menggambarkan dirinya sebagai pemimpin untuk semua rakyat Malaysia.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Julau, Larry Sng yang mengulas rancangan kerajaan membantu membangunkan semula Gaza, berkata Anwar perlu memahami bahawa keutamaannya adalah Malaysia dan terlalu berlebihan isu Palestin boleh menjejaskan kepimpinannya.

Bagaimanapun, Anwar menepis kritikan itu dengan menyelar pengkritik sebagai tidak mempunyai sifat belas kasihan.

Sementara itu, Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia juga tidak bersetuju dengan pandangan Sng bahawa penekanan berlebihan terhadap isu Palestin akan memberi kesan negatif kepada kepimpinan Anwar.

Bagaimanapun, beliau berkata Anwar perlu mencari keseimbangan antara komitmennya membantu Gaza dan menyelesaikan kebimbangan ekonomi serta isu rakyat dalam negara.

Azmil berpandangan Putrajaya perlu jelaskan keputusan itu dengan lebih baik, menjuruskan ia dibuat atas dasar kemanusiaan.

“Kerajaan perlu mengawal naratif ini dengan menegaskan bahawa adalah penting untuk membantu mereka yang memerlukan, baik di dalam mahupun luar negara,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, tidak timbul soal ‘berlebihan’ dalam isu perjuangan Palestin kerana ia selari dengan dasar luar negara yang telah lama diamalkan.

Beliau menegaskan, pemimpin terdahulu sebelum Anwar juga memperjuangkan kedaulatan Palestin sebagai sebuah negara merdeka, walaupun dengan pendekatan berbeza.

“Dasar luar Malaysia terhadap perjuangan Palestin adalah konsisten sejak negara mencapai kemerdekaan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.