
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata Sarawak tidak mempunyai agama rasmi, dan keadaan sekularnya perlu diambil kira dalam sebarang garis panduan agama untuk negeri itu.
Setiausaha Agung Sebastian Ting berkata Sarawak sering diangkat sebagai model toleransi dan keharmonian beragama, di mana masyarakat pelbagai kepercayaan hidup secara aman dan saling meraikan perayaan dan tradisi masing-masing.
“Sehubungan itu, kami berpendapat garis panduan yang dicadangkan itu tidak perlu dan terlalu mengawal, dan sesungguhnya kami tidak perlukannya di Sarawak.
“SUPP berpendapat terlalu banyak kawalan ke atas amalan keagamaan dan terlalu berhati-hati mengenai sensitiviti agama – terutama apabila ia bukanlah suatu isu pun – boleh mewujudkan perpecahan yang tidak sepatutnya berlaku.
“Sarawak, sebagai contoh terbaik, berkembang dengan harmoni secara semula jadi kerana rakyatnya mengamalkan sikap saling menghormati tanpa campur tangan berlebihan,” katanya dalam kenyataan.
Ting, yang juga timbalan menteri Sarawak, berkata pendekatan yang lebih baik ialah menggalakkan dialog, pemahaman bersama dan kesedaran tentang kepelbagaian agama dalam kalangan rakyat, sambil membenarkan mereka mengekalkan tradisi masing-masing secara bebas.
Katanya, perlu ada keseimbangan antara menghormati kepercayaan agama dan memastikan dasar atau garis panduan kerajaan secara tidak sengaja memupuk sikap tidak bertoleransi.
“Sarawak membuktikan bahawa kepercayaan dan kewujudan bersama secara semula jadi lebih berkesan berbanding kawalan berlebihan,” katanya.
Cadangan garis panduan itu yang mencetuskan kontroversi akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Ia antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.
Di samping itu, pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Garis panduan ini mendapat bantahan, termasuk daripada Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan, yang berpendapat ia boleh menyukarkan wakil rakyat Muslim.