
Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Mahmood Razak Bahman berkata penutupan itu bagi memberi laluan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk membina kemudahan baharu di tapak sama.
“Persetujuan awal penutupan adalah pada Dis 2026 tetapi kami bersetuju untuk menutup lokasi ini kerana ia merupakan antara cawangan paling sibuk, namun terletak di kawasan berkepadatan tinggi.
“Cawangan ganti yang diluluskan JPJ adalah di Bukit Beruntung, Rawang, dan akan siap pada Dis 2026,” katanya dalam kenyataan.
Mahmood berkata bagi menampung masalah yang timbul susulan penutupan awal cawangan itu Puspakom menambah waktu operasi beberapa cawangan lain di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.
“Secara purata, Puspakom Wangsa Maju memeriksa 800 unit kenderaan sehari. Jadi kita perlu membuat kajian semula waktu perkhidmatan beberapa cawangan untuk menampung pengurangan slot pemeriksaan ini.
“Cawangan Wangsa Maju memeriksa semua kategori kenderaan termasuk kenderaan berat. Tidak semua cawangan Puspakom mempunyai keupayaan memeriksa kenderaan berat,” katanya.
Beliau juga menggesa pelanggan untuk membuat pemeriksaan kenderaan lebih awal iaitu dalam tempoh 14 hari sebelum tarikh tamat permit kenderaan bagi memudahkan mereka sekiranya gagal ujian asal.
Puspakom Wangsa Maju antara cawangan awal terawal Puspakom. Ia dibuka pada 1995, dan mempunyai enam lorong pemeriksaan dengan seramai 37 kakitangan.