Warga emas rugi RM2.8 juta

Warga emas rugi RM2.8 juta

Lelaki berusia 68 tahun buat 48 transaksi bermula Oktober 2024 hingga Januari lalu dalam skim pelaburan tidak wujud.

DATUK SERI RAMLI MOHAMED YOOSUF
Pengarah JSJK Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa tidak terima sebarang pulangan dan diminta buat bayaran tambahan kononnya bagi mencairkan keuntungan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki warga emas kerugian lebih RM2.8 juta akibat terpedaya skim pelaburan tidak wujud di media sosial.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata mangsa berusia 68 tahun yang bekerja sebagai perunding itu tertarik iklan pelaburan, sebelum dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya ditawarkan empat jenis pelaburan berbeza dan membuat 48 transaksi pembayaran dari Oktober 2024 hingga Januari 2025 berjumlah RM2,821,654 ke 23 akaun bank berbeza.

Transaksi melibatkan lapan akaun Hong Leong Bank, CIMB (empat), RHB Bank (tiga), BSN (dua), Affin Bank (dua), GX Bank (dua), dan masing-masing satu Public Bank dan Maybank,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Kuala Lumpur.

Ramli berkata, mangsa yang rasa tertipu telah membuat laporan polis selepas menyedari tidak menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan, sebaliknya terus diminta membuat bayaran tambahan bagi ‘mencairkan’ keuntungan dalam aplikasi pelaburan digunakan.

“Satu laporan polis telah diterima pada 27 Jan di Kota Kinabalu, Sabah dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

“Kami (polis) menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat. Pastikan pelaburan yang diceburi adalah sah dan berdaftar dengan pihak berkuasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.