TNB arah henti kerja guna helikopter kedua di tapak projek Bentong

TNB arah henti kerja guna helikopter kedua di tapak projek Bentong

TNB mengesahkan ia menerima laporan kejadian sebuah helikopter terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak dekat tapak projek TNB di Bentong.

Helikopter jenis Bell 206L4 terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak di Bentong hari ini. (Gambar JBPM)
KUALA LUMPUR:
Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengarahkan pemberhentian kerja bagi penggunaan helikopter kedua terbabit dalam penyelenggaraan di tapak projeknya di Bentong.

TNB menerusi hantaran Facebook TNB Careline mengesahkan ia menerima laporan kejadian sebuah helikopter terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak berdekatan tapak projek TNB di Bentong, Pahang.

“TNB akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan insiden itu dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

“Laporan awal menyatakan juruterbang berjaya dikeluarkan dengan selamat, manakala seorang pekerja syarikat helikopter (warga Indonesia) meninggal dunia,” menurut hantaran itu.

Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang mengesahkan seorang jurutera warga Indonesia maut selepas helikopter jenis Bell 206L4 terbakar ketika mendarat untuk mengisi minyak.

Bagaimanapun, dalam kejadian dekat kolam air panas, Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong itu, juruterbang helikopter terbabit yang juga warga Indonesia terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.