Tetapkan tindakan campur beras kesalahan jenayah, gesa wakil rakyat

Tetapkan tindakan campur beras kesalahan jenayah, gesa wakil rakyat

Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) berkata kerajaan perlu tambah taring kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 untuk cegah perbuatan campur beras.

Hassan Karim dakwa kelonggaran Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 menyebabkan ada pengilang manipulasi beras tempatan dan import.
KUALA LUMPUR:
Hassan Karim (PH-Pasir Gudang) mencadangkan tindakan manipulasi beras tempatan dan import ditetapkan sebagai kesalahan jenayah bagi menimbulkan kegerunan di kalangan pengilang.

Beliau berpendapat Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) perlu ditambah taringnya supaya tindakan mencampurkan dua beras berkenaan untuk mengaut keuntungan dan menyebabkan rakyat terpaksa membayar harga mahal perlu dihentikan.

Menurutnya, satu seksyen di bawah akta berkenaan perlu ditambah dengan perbuatan mencampurkan beras tempatan dan import itu sebagai kesalahan jenayah.

Hassan Karim.

“Mungkin ada kesukaran dalam membezakan beras tempatan dan beras import, maka kaedah beban pembuktian boleh diteliti jabatan peguam negara dan bahagian undang-undang (sekiranya digubal).

“Mereka yang dituduh di mahkamah bela diri sebagaimana tindakan polis narkotik dalam kes dadah,” katanya ketika membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Hassan berkata langkah itu penting supaya mereka yang melakukan kesalahan terbabit dikenakan hukuman sewajarnya sekali gus menggerunkan pihak lain daripada mengulaginya.

“Sampai hari ini tidak terdengar di mana-mana mahkamah pihak didakwa melakukan kesalahan mencampurkan beras putih tempatan dengan beras import, biarpun pasukan petugas melibatkan pelbagai agensi ditubuhkan dan pemeriksaan dibuat.

“Akta tak cukup taring dan kelonggaran itu membawa kepada perbuatan mengaut keuntungan oleh golongan tertentu,” katanya.

Oktober lalu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dilaporkan berkata satu peraturan baharu akan diwujudkanr bagi memastikan tiada penyelewengan terhadap bekalan beras putih tempatan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.