
Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata larangan itu dilaksanakan susulan aduan dalam kalangan penganut dan pengunjung semasa sambutan di lokasi itu.
“Sebelum ini, ada aduan berlaku aktiviti jualan dan minum arak ketika perarakan pedati terutama waktu malam, cuma tiada tindakan tegas diambil.
“Jadi kali ini, jika berlaku (penjualan dan minum), polis tidak akan tolak ansur, mereka akan ditangkap terus dan dibawa ke mahkamah,” katanya menurut Bernama pada sidang media Sambutan Hari Thaipusam 2025 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.
Sivanesan berkata, 350,000 orang dijangka menghadiri sambutan perayaan di kuil itu yang merupakan antara lokasi tumpuan para penganut agama Hindu negara ini.
“Bagi memastikan kelancaran sambutan perayaan itu, 400 anggota polis akan berada di sekitar lokasi sambil dibantu beberapa agensi lain yang terlibat secara langsung sepanjang tiga hari perayaan berlangsung,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan mengelak melalui Jalan Raja Muda Aziz, Jalan Sultan Idris, Jalan Sultan Yusof, Jalan Lahat, Jalan Tun Perak, dan Jalan Sungai Pari yang menjadi laluan pedati ke kuil tersebut.
“Kita tak tutup jalan, cuma kita nasihatkan orang ramai tidak melalui jalan-jalan yang dinyatakan bagi mengelak berlaku kesesakan semasa perarakan pedati di laluan-laluan ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut meminta mana-mana individu yang berminat membuka gerai jualan berdekatan kuil berkenaan supaya membuat permohonan kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selewat-lewatnya 8 Feb.
“Individu yang berminat boleh datang secara terus ke MBI untuk mengisi borang bagi permohonan permit sementara, dan saya juga ingatkan mana-mana individu yang menjaja tanpa permit, maka tindakan sewajarnya akan dikenakan,” katanya.