
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau daripada Pakatan Harapan (PH) supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi penjelasan mengenai status larangan tersebut, susulan laporan mendakwa Zakir berceramah dalam satu program di Perlis bulan lepas.
“Saya akan membuat semakan dahulu,” katanya ringkas kepada FMT apabila ditanya sama ada larangan terhadap Zakir masih berkuat kuasa atau sudah ditarik balik.
Menurut The Scoop, Zakir berucap dalam Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis 2025 yang berlangsung pada 24 hingga 26 Jan lepas.
Dalam sesi soal jawab, Zakir didakwa menggesa umat Islam Malaysia untuk lebih giat menyebarkan Islam kepada penganut bukan Islam.
Beliau juga dilaporkan mendakwa rakyat Malaysia tidak sepenuhnya menggunakan undang-undang yang membenarkan penyebaran Islam.
Pada Ogos 2019, polis dilapor mengeluarkan arahan Zakir tidak lagi dibenarkan memberi ceramah di Malaysia, atas dasar memelihara keselamatan negara dan keharmonian kaum.
Bagaimanapun, pada Dis 2021, Zakir menafikan perkara itu dan berkata, tiada arahan sedemikian disampaikan kepadanya oleh polis.
Beliau juga mendakwa telah mengesahkan perkara tersebut dengan ketua setiausaha kerajaan ketika itu.
Tambahnya, beliau masih meneruskan ceramah kepada kumpulan kecil, khususnya semasa wabak Covid-19.
Pada Ogos lepas, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan mempertimbangkan ekstradisi Zakir ke India selagi pendakwah itu tidak menimbulkan sebarang masalah.