
Beliau berkata, Malaysia sangat kesal dengan kenyataan itu yang jelas melanggar hak asasi manusia, piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.
“Pengumuman untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza itu sesuatu di luar fikiran yang waras.
“Kita menegaskan menentang dan tidak setuju tentang cadangan untuk mengusir secara paksa rakyat Palestin kerana rakyat Palestin sendiri telah menyatakan mereka tidak mahu berganjak dari tanah air mereka,” katanya semasa sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung pendirian kerajaan terhadap kenyataan Trump mengusir rakyat Palestin secara paksa dari negara mereka.
Kelmarin, Trump berikrar AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza selepas rakyat Palestin dipindahkan ke negara lain, langkah bakal ‘menghancurkan’ dasar berdekad AS berhubung konflik Israel-Palestin.
Trump mendedahkan rancangannya itu tanpa memberikan butiran terperinci dalam sidang media bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu di Washington.
Pengumuman itu menyusul satu lagi cadangan ‘menggemparkan’ Trump terdahulu, untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza ke negara jiran secara kekal, sambil melabelkan Gaza sebagai ‘tapak perobohan’.
Sementara itu, Mohamad berkata sebagai pengerusi Asean, Malaysia bersama rakan sejawat lain dalam Asean akan mengeluarkan kenyataan bersama menolak cadangan Trump.
“Kita akan keluarkan kenyataan bersama Asean.
“Malaysia tegas pagi ini kita tidak setuju, menolak sebarang cadangan tak masuk akal untuk memaksa rakyat Palestin di Semenanjung Gaza untuk keluar atau ditempatkan ke negara ketiga.”