
Al-Sultan Abdullah bertitah, kilang diusahakan Ketech Asia Sdn Bhd (Ketech Asia) dan mampu mengeluarkan 60 juta butir peluru setahun bagi setiap kaliber itu, juga mampu menaikan nama negara khusunya Pahang di peringkat antarabangsa.
“Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada pengusaha kilang dan ingin mengingatkan pihak syarikat harus beri kemudahan sebaik mungkin kepada pekerja dan untuk pekerja berkhidmatlah sebaik mungkin.
“Bahan (peluru) daripada sini juga dapat dijual di negara asing, secara tidak langsung meningkatkan nama negara khususnya Pahang dan Lipis di peringkat antarabangsa,” titah baginda menurut Bernama semasa menyempurnakan majlis perasmian kilang berkenaan.
Turut hadir Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay, dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang merangkap exco kanan, Mohd Soffi Abd Razak.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa kira-kira setengah jam melawat kilang berkeluasan 40.4 hektar itu dan mendengar sembah taklimat pihak pengurusan kilang.
Sultan Pahang turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang boleh mendatangkan pelbagai manfaat melabur di negeri ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Ketech Asia A M Maharis Abdul Wahab, memaklumkan kilang yang mengeluarkan peluru variasi 9mm dan 5.56mm itu, dijangka akan memulakan produksi pengeluaran untuk pasaran tempatan pada pertengahan tahun ini.
Setakat ini, beliau berkata negara seperti Brunei, Singapura, Kemboja, dan beberapa negara Timur Tengah telah menunjukkan minat untuk mendapatkan bekalan peluru daripada syarikat itu.
“Penubuhan syarikat ini juga telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 100 penduduk tempatan dan dijangka menambah lebih 100 lagi tenaga kerja selepas kilang ini beroperasi secara 24 jam pada tahun depan,” katanya.