Kenaikan tarif Trump tak sasar Malaysia, kata menteri

Kenaikan tarif Trump tak sasar Malaysia, kata menteri

Malaysia ambil langkah proaktif erat lagi hubungan dua hala dengan AS agar keadaan itu kekal, kata Tengku Zafrul Aziz.

semiconductor
Sebanyak RM387 bilion bagi nilai eksport barangan Malaysia pada 2024 membabitkan produk semikonduktor.
PETALING JAYA:
Kenaikan tarif Amerika Syarikat (AS) bagi beberapa negara yang diumumkan Presiden Donald Trump minggu lepas setakat ini tidak menyasarkan Malaysia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz berkata, bagi mengekalkan keadaan itu, Malaysia mengambil langkah proaktif mengeratkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan AS.

Tengku Zafrul Aziz.

“Berdasarkan rekod, nilai keseluruhan eksport barangan pada 2024 adalah sebanyak RM1.508 trilion, di mana hampir 40% daripada eksport keseluruhan barangan daripada Malaysia ialah produk elektrik dan elektronik (E&E).

“Daripada jumlah eksport E&E ini pula, sebanyak RM387 bilion atau 64% ialah produk semikonduktor.

“Pada 2024, pasaran ke AS adalah pada kedudukan ketiga teratas bagi semikonduktor yang dieksport daripada Malaysia,” katanya di Facebook.

Malaysia juga menandatangani memorandum kerjasama dengan AS berkaitan ketahanan rantaian bekalan pada 10 Mei 2022.

“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memastikan rantaian bekalan semikonduktor yang kukuh dan berdaya tahan, serta memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik antara Malaysia dan AS.

“Justeru, Kementerian (Pelaburan, Perdagangan dan Industri) yakin pelabur sedia ada daripada AS akan kekal berada di Malaysia dan terus berkembang bagi memperkukuhkan rantaian bekalan global mereka,” katanya.

AS merupakan rakan dagang Malaysia ketiga terbesar, dengan jumlah perdagangan mencatat RM324.9 bilion, bersamaan 11.3% daripada jumlah perdagangan Malaysia tahun lepas.

Pada 29 Jan, The New York Times melaporkan perancangan Presiden Donald Trump mengenakan tarif 25% terhadap barangan dari Kanada dan Mexico, dan 10% bagi barangan dari China, berkuat kuasa 1 Feb.

Beliau juga berazam mengenakan tarif terhadap semua barangan dari Kesatuan Eropah.

Dalam wawancara dengan badan penyiar umum Turki TRT World baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, sebarang dasar bertentangan dengan perdagangan bebas akan menjejaskan beberapa rantau, termasuk Asean, yang dipengerusikan Malaysia tahun ini.

Walaupun tarif dicadangkan itu membawa kepada ketidaktentuan dari segi perdagangan dan pertumbuhan, Asean banyak menikmati manfaat daripada tarif dilaksanakan ketika pentadbiran pertama Trump.

Keadaan itu mengakibatkan syarikat-syarikat beralih kepada rantaian pembekal di rantau ini bagi mengelak tarif lebih tinggi dikenakan terhadap barangan China.

Menurut laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) November lepas, walaupun hubungan AS-China merudum dalam beberapa tahun lepas, Asean mampu menyesuaikan diri dan terus memperkukuh hubungan dan pelaburan dengan dua negara terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.