Enakmen Kebebasan Maklumat P Pinang tak dikuat kuasa dengan betul, kata aktivis

Enakmen Kebebasan Maklumat P Pinang tak dikuat kuasa dengan betul, kata aktivis

Wathshlah Naidu berkata kegagalan Majlis Bandaraya Pulau Pinang mematuhi tarikh akhir ditetapkan mendedahkan kurang pematuhan kepada undang-undang.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang baru-baru ini ditegur Lembaga Rayuan Kebebasan Maklumat negeri kerana gagal menjawab permintaan maklumat dalam tempoh 14 hari bekerja yang ditetapkan undang-undang. (Gambar Wikipedia)
PETALING JAYA:
Enakmen Kebebasan Maklumat (FOI) Pulau Pinang masih tidak dikuatkuasakan dengan betul kerana agensi kerajaan tidak tahu tugas mereka di bawah undang-undang, kata seorang penyokong ketelusan.

Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas, Wathshlah Naidu, berkata kegagalan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mematuhi tarikh akhir ditetapkan bagi menjawab permintaan maklumat mendedahkan kurang pematuhan kepada undang-undang.

Di bawah peraturan akses kepada maklumat berdasarkan Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang 2010, pegawai dilantik di setiap jabatan atau agensi kerajaan negeri perlu memberi maklum balas kepada pemohon dalam tempoh 14 hari bekerja.

Wathshlah Naidu.

“Keputusan pertama dalam kes ini menunjukkan masih wujud kurang pemahaman sepenuhnya berhubung pengecualian yang dibenarkan di bawah enakmen FOI.

“Kerajaan Pulau Pinang perlu memberi latihan menyeluruh dan berterusan kepada semua pegawai dan badan awam. Maklumat berkepentingan awam juga perlu disediakan tanpa memaksa orang ramai melalui permintaan FOI yang panjang,” katanya kepada FMT.

Wathshlah mengulas teguran Lembaga Rayuan Kebebasan Maklumat negeri kepada MBPP yang gagal menjawab satu permintaan dalam tarikh akhir ditetapkan.

Lembaga rayuan itu turut membatalkan keputusan MBPP dan mengarahkan pengeluaran laporan Penilaian Impak Trafik (TIA) yang dibuat berhubung pembinaan asrama pekerja asing 28 tingkat di Batu Maung.

Ho Yi Jian
Ho Yi Jian.

, penganalisis penyelidikan di Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Ibu Pejabat Asia) di Universiti Sunway, berkata pemohon FOI mempunyai hak merayu, jika permintaan mereka ditolak secara salah.

“Jika pegawai (dilantik) itu tidak bertindak balas, mereka sepatutnya mengemukakan perkara itu kepada pentadbir di pejabat setiausaha kerajaan negeri (SUK), seperti disenaraikan di laman sesawang FOI kerajaan Pulau Pinang.”

Menurutnya, semua dokumen patut disediakan untuk diakses orang ramai, melainkan ia dikecualikan di bawah enakmen FOI atau diklasifikasikan rahsia rasmi mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Beliau berkata, Enakmen Kebebasan Maklumat Pulau Pinang mempunyai kecacatan ketara kerana ia tidak membenarkan rayuan ke mahkamah undang-undang, tidak seperti undang-undang FOI di negara lain.

“Ini kelemahan utama. Sepatutnya, mahkamah lebih tinggi boleh meneliti lebih lanjut kes rayuan FOI, khasnya jika wujud unsur rasuah atau salah laku dikaitkan dengan maklumat diminta.”

Kumpulan masyarakat sivil, Aliran memberi amaran Pulau Pinang – antara dua negeri mempunyai undang-undang FOI – berisiko menjadikan undang-undang itu tidak bermakna jika penguatkuasaan lemah.

“Kegagalan majlis bandaraya untuk bertindak dalam tempoh ditetapkan bukan sekadar kesilapan pentadbiran, ia pencabulan hak asasi ini.

“Institusi seperti MBPP terikat dengan FOI. Pematuhan kepada undang-undang bukanlah pilihan,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.