Ditembak APMM, lagi suspek warga Indonesia meninggal

Ditembak APMM, lagi suspek warga Indonesia meninggal

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata suspek antara empat warga Indonesia yang cedera dalam insiden 24 Jan.

hussein omar khan
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata suspek meninggal dunia di Hospital Serdang malam tadi.
GOMBAK:
Seorang lagi warga Indonesia yang terlibat dalam insiden tembakan dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sebelum ini di perairan Tanjung Rhu, Selangor, meninggal dunia.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan, berkata mangsa antara empat suspek cedera dalam insiden pada 24 Jan.

“Dia meninggal dunia di Hospital Serdang malam tadi,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Hussein berkata, seorang maut dan empat lain cedera dalam insiden tembakan itu. Tiga yang cedera dirawat di Hospital Serdang, manakala seorang lagi dirawat di Hospital Klang.

Katanya, polis telah membuat siasatan insiden berkenaan dengan anggota APMM terlibat diberikan cuti sementara menunggu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 39 Akta Senjata kerana melepaskan tembakan tidak menepati undang-undang, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang pegawai semasa menjalankan tugas.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 26a Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 kerana menyeludup migran.

Hussein juga berkata, polis telah menahan dua lagi warga Indonesia berusia lingkungan 30-an, disyaki menaiki bot berkenaan dan melarikan diri selepas insiden tembakan.

Katanya, kedua-dua ditangkap dalam satu operasi di Pulau Carey, dan menambah kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, berkata ada kemungkinan siasatan polis dalam tembakan tersebut disiasat menjurus penyeludupan dadah dan senjata api.

Katanya, semua warga Indonesia itu tidak mempunyai dokumen dan polis sudah menahan seorang lelaki dipercayai terlibat penyeludupan migran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.