DBKL serah dokumen projek RM4 juta kepada SPRM, kata datuk bandar

DBKL serah dokumen projek RM4 juta kepada SPRM, kata datuk bandar

Ia susulan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL dikaitkan dengan pemberian projek RM4 juta tanpa melalui tender terbuka.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Maimunah Mohd Sharif berkata DBKL sedia memberi kerjasama kepada SPRM dalam isu itu. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif mengesahkan dokumen dan maklumat berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dikaitkan dengan pemberian projek RM4 juta sudah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka (SPRM) datang ke pejabat DBKL semalam (kelmarin) dan kita sedia memberi kerjasama dalam isu ini,” katanya menurut Harian Metro.

Sebelum ini, akhbar itu melaporkan DBKL akan berkongsi dokumen berhubung penganugerahan projek bernilai RM4 juta yang sedang disiasat SPRM.

Dakwaan salah laku mengaitkan ahli lembaga penasihat itu mula tular di media sosial sejak minggu lalu, membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL bernilai RM4 juta, yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka.

Menurut dakwaan di media sosial, ahli lembaga penasihat itu dikatakan memegang jawatan dalam syarikat yang dianugerahkan projek berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.