
Gesaan itu dibuat Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) atas alasan untuk memastikan tiada konflik kepentingan atau salah guna kuasa.
“Ya kita penyokong kerajaan sepatutnya perlu sokong kerajaan. Tetapi dalam hal ini saya pertahankan rakyat kerana pencarum (KWSP) ini adalah rakyat jelata.
“Saya rasa terpanggil untuk membawa isu ini, sebab itu minta audit dilaksanakan dalam siasatan bebas terhadap perkara itu,” katanya ketika membahaskan usul titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.
Selasa lalu, konsortium Gateway Development Alliance (GDA) berjaya memperoleh saham mencukupi untuk mengambil alih MAHB dan menjadikannya syarikat persendirian.
GDA merangkumi KWSP, UEM Group Bhd yang disokong Khazanah Nasional Bhd, Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi, dan Global Infrastructure Partners.
Sebelum perjanjian itu dimuktamadkan, pengkritik mendakwa KWSP kerugian RM500 juta dalam dagangan saham untuk membeli semula saham MAHB pada harga lebih tinggi selepas menjualnya pada kadar lebih rendah.
Wee dilaporkan berkata kepentingan KWSP dalam MAHB merosot daripada 15% ke bawah 6% pada 2023 sebelum membeli semula saham itu pada 2024 ketika GDA merancang pengambilalihannya.
Sementara it, Wee yang juga presiden MCA turut mencadangkan SOP khas bagi pelaburan strategik seperti MAHB untuk melindungi aset strategik negara dan dana pencarum.