
Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) menggesa Putrajaya merayu pengampunan daripada Singapura untuk Pannir Selvam Pranthaman, yang hanya keldai dadah, bukan pengedar besar.
“Saya menyeru agar pihak kerajaan terutamanya peguam negara dan juga perdana menteri dapat menulis atau menghubungi (pihak) Singapura untuk memohon agar Pannir Selvam ini tidak digantung, memandangkan beliau hanya keldai dadah.
“(Mengikut) fakta-fakta kesnya, memang wajar untuk hukuman gantung tersebut tidak dikenakan,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat.
Ramkarpal seterusnya berkata, Malaysia sebelum ini pernah merayu kepada Singapura, merujuk kepada tindakan Ismail, ketika beliau menjadi perdana menteri, bagi pihak Nagaenthran K Dharmalingam beberapa tahun lepas.
“Seperti Ismail Sabri pada masa beliau menjadi perdana menteri telah pun menulis kepada Singapura agar seorang warga Malaysia, iaitu Nagaenthran, masa itu juga tidak dikenakan hukuman mati,” katanya.
Pada 2021, Ismail meminta kepada perdana menteri Singapura ketika itu, Lee Hsien Loong, agar kelonggaran diberikan buat Nagaenthran, yang juga disabitkan kesalahan dadah, atas ‘dasar kemanusiaan’. Hukuman terhadap Nagaenthran bagaimanapun dilaksanakan pada tahun berikutnya.
Pannir Selvam, 37, ditahan pada 2014 di pusat pemeriksaan Woodlands ketika memasuki Singapura dari Malaysia dengan 51.84g heroin tersembunyi dalam barangannya. Dia disabitkan kesalahan pada 2017 dan dijatuhi hukuman mati, walaupun menegaskan dia hanya seorang penghantar.
Dia merayu sabitannya sehingga ke mahkamah tertinggi Singapura, tetapi rayuannya ditolak, menyebabkan dia berdepan risiko hukuman dilaksanakan.
Petisyen Pannir Selvam kepada presiden Singapura, merayu pengampunan, juga ditolak dan beliau kekal sebagai banduan akhir di Penjara Changi.
Dalam perkara berasingan, Ramkarpal membangkitkan isu kebebasan kehakiman berhubung kuasa perdana menteri untuk menolak pelantikan hakim yang disyorkan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC).
Beliau menggesa kerajaan meminda Akta JAC 2009 bagi mengelakkan campur tangan eksekutif dan melindungi keyakinan orang ramai terhadap mahkamah.
“Saya ingin bertanya kerajaan … (adakah) akta tersebut akan dikaji semula dan dipinda untuk mengecualikan penglibatan eksekutif ataupun perdana menteri dalam pelantikan hakim supaya ketelusan dan persepsi kebebasan tersebut dapat dikekalkan?”
Ramkarpal turut meminta supaya tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dilanjutkan, memandangkan prestasinya cemerlang.
Tengku Maimun akan bersara wajib apabila mencapai usia 66 tahun pada Julai.