Utamakan RTS kedua ke Singapura, kata bekas wakil rakyat

Utamakan RTS kedua ke Singapura, kata bekas wakil rakyat

Dr Boo Cheng Hau juga berkata sistem LRT amat diperlukan di Johor, khususnya di zon ekonomi khas dengan Singapura.

rts link johore
Dijadual siap pada 2026, RTS Link ialah perkhidmatan ulang-alik transit aliran ringan 4km yang menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan stesen Woodlands North di Singapura.
PETALING JAYA:
Seorang bekas Adun Johor menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk membina sistem transit pantas (RTS) kedua ke Singapura pada masa akan datang.

Bekas Adun Skudai Dr Boo Cheng Hau berkata RTS kedua itu harus menghubungkan Iskandar Puteri ke bahagian barat Singapura.

Boo juga berkata Putrajaya harus mengutamakan RTS kedua berbanding cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

“Kos bagi RTS kedua akan lebih murah dan ia boleh disiapkan dalam jangka masa lebih singkat (berbanding HSR). Ini akan meningkatkan kesalinghubungan Zon Ekonomi Khas (SEZ) serta merangsang pertumbuhannya dengan lebih berkesan dan lebih segera,” katanya dalam kenyataan.

Bekas ketua DAP Johor itu menegaskan HSR masih boleh diteruskan tetapi tidak sepatutnya menjadi keutamaan memandangkan kos yang lebih tinggi dan pendirian kerajaan bahawa ia harus didorong oleh sektor swasta.

Boo juga menggesa kerajaan persekutuan dan negeri mengutamakan cadangan sistem transit aliran ringan (LRT) di Johor, khususnya menghubungkan stesen RTS Bukit Chagar ke ke seluruh pelusuk SEZ.

Katanya, ia akan memenuhi permintaan menyuraikan sejumlah besar penumpang dalam tempoh waktu puncak yang singkat di sempadan Singapura.

Dijadual siap pada 2026, RTS Link ialah perkhidmatan ulang-alik LRT sejauh 4km yang menghubungkan stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan stesen Woodlands North di Singapura.

Perkhidmatan perantara itu dijangka memberi perkhidmatan sehingga 10,000 penumpang sejam setiap arah semasa tempoh puncak.

Exco Johor Fazli Salleh baru-baru ini berkata Putrajaya sedang mempertimbangkan untuk membina rangkaian LRT atau bas trem di Johor Bahru untuk melengkapkan RTS Link.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.