
Dalam buku ‘Becoming Hannah: A Personal Journey’ yang diterbitkan pada 2014, Yeoh menulis: “God wants to reclaim politics and public service in Malaysia for righteousness’ sake.”
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Yeoh, Sangeet Kaur Deo, Ibrahim mengaku beliau tidak menggunakan keseluruhan ayat tersebut dalam pernyataan saksinya.
Sangeet: Apa kata-kata yang tidak anda guna?
Ibrahim: ‘For righteousness sake’.
Sangeet: Adakah anda sengaja tidak guna kata-kata tersebut?
Ibrahim: Ya
Apabila diberitahu bahawa frasa yang ditinggalkannya itu akan memberikan konteks bagi ayat itu, dan menunjukkan niat penulisnya, Ibrahim berkata: “Saya faham.”
Sangeet: Apa tafsiran anda bagi istilah ‘righteousness’?
Ibrahim: Itu hak beliau.
Sangeet: Jadi, anda tafsirkannya sebagai beliau menuntut haknya?
Ibrahim: Ya, dan hak Tuhannya.
Sangeet: Saya cadangkan bahawa maksud dan tafsiran anda salah. Apa maksud ‘righteousness’?
Ibrahim: Hak beliau dan hak Tuhannya.
Ibrahim yang memberi keterangan sebagai saksi defendan Kamarul Zaman Yusoff juga bersetuju bahawa Yeoh tidak pernah mencabar status Islam sebagai agama persekutuan atau mana-mana negeri.

Yeoh menyaman Kamarul, seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), atas tuduhan berhubung dua catatannya di Facebook pada 10 dan 17 Mei 2017. Dalam catatan tersebut, dia mendakwa Yeoh mahu ‘menyebarkan ajaran Kristian menerusi politik’, serta mahu menjadikan Malaysia ‘negara Kristian’.
Menteri belia dan sukan itu menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan daripada Kamarul.
Beli buku ketika isu jadi ‘sensasi’
Seorang lagi saksi pembelaan mengaku tidak mengambil sebarang tindakan menghalang penjualan buku itu, walaupun setelah 11 tahun diterbitkan.
Aminuddin Yahaya, yang mengetuai kumpulan pemimpin NGO dikenali sebagai Gabungan Nasionalis berkata, beliau telah lama tahu bahawa buku Yeoh dijual di negara ini. Beliau juga bersetuju bahawa buku itu tidak diharamkan oleh kerajaan.

Katanya, beliau hanya membeli senaskhah buku itu untuk dibaca selepas Ian menjadi isu ‘sensasi’ pada 2017.
“Saya tidak tahu sama ada pihak berkuasa agama ambil sebarang tindakan,” katanya, ketika disoal Sangeet.
Ketika diperiksa balas sama ada beliau memfailkan sebarang laporan polis berhubung kandungan buku Yeoh, Aminuddin berkata, beliau tidak ingat.
Sangeet: Saya cadang, memandangkan tiada tindakan daripada pihak berkuasa agama atau kerajaan, buku itu bukan (dikira) ancaman?
Aminuddin: Saya tidak setuju.
Sangeet: Jadi kenapa anda tidak failkan sebarang tindakan undang-undang terhadap kerajaan (agar buku itu diharamkan)?
Aminuddin: Saya tiada wang.
Katanya lagi, dakwaannya bahawa kandungan buku Yeoh melanggar undang-undang negeri dan persekutuan sekadar ‘pendapat’
Aminuddin yang juga seorang juruaudit berkata, beliau telah mengenali Kamarul lebih 10 tahun.
Beliau juga mengakui tiada rekod Yeoh disabitkan sebarang kesalahan di mahkamah.
Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Aliza Sulaiman pada 6 Feb.