
Timbalan Menteri Sumber Manusia Abdul Rahman Mohamad berkata Jemaah Menteri secara prinsip bersetuju Kesuma melaksanakan SKBBK.
“RUU ini akan dibentang dan disegerakan. (Diharap) disokong semua ahli berhormat (Ahli Parlimen),” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung mekanisme pelaksanaan SKBBK untuk melindungi pekerja mengalami kemalangan di luar pekerjaan.
Wee juga ingin tahu sejauh mana skim itu dapat menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja susulan peningkatan aturan kerja anjal oleh majikan.
Rahman berkata Kesuma melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh bagi mendapatkan maklum balas berhuhung cadangan pelaksanaan SKBBK.
Sesi libat urus itu diadakan bersama wakil perusahaan kecil dan sederhana, Persekutuan Majikan Malaysia, Persekutuan Pengilang Malaysia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam di Lembah Klang, Sabah serta Sarawak.
Terdahulu, Rahman berkata Kesuma berhasrat melaksanakan SKBBK yang akan ditadbir Perkeso bagi memastikan liputan perlindungan 24 jam sehari kepada pekerja yang layak semasa tempoh penggajian.
Menurutnya, SKBBK meliputi kemalangan yang bukan daripada dan ketika bekerja, tidak berkait secara langsung dengan pekerjaan, kemalangan yang berlaku dalam Malaysia di luar waktu kerja, termasuk kemalangan dalam perjalanan tiada kaitan dengan pekerjaan.
“Kesuma cakna dengan perubahan landskap peralihan waktu kerja susulan peningkatan aturan kerja anjal atau fleksibel (FWA) oleh majikan di Malaysia kesan daripada perkembangan digital.
“Pelaksanaan SKBBK oleh Perkeso ini merupakan satu mekanisme perlindungan sosial dalam menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja, terutama bagi pekerja terlibat dengan FWA. Ini kerana risiko kemalangan yang tidak berlaku di pejabat serta waktu kerja seperti kelaziman.”