Program Jejak Harmoni rekod lebih 2.7 juta tontonan

Program Jejak Harmoni rekod lebih 2.7 juta tontonan

Rancangan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional itu pamer realiti keharmonian antara rumah ibadat.

gambar 1
Antara babak lawatan ke rumah ibadat ditonjolkan dalam program Jejak Harmoni (JH) disiarkan di TV1 RTM dan media sosial.
PETALING JAYA:
Program Jejak Harmoni (JH) 2024 yang menampilkan keharmonian antara rumah ibadat dan penganut agama mendapat sambutan baik menerusi siaran di televisyen dan media sosial.

Diterbitkan hasil inisiatif Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), program enam episod itu ditayangkan melalui TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menerusi siaran di beberapa saluran media sosial, program dicetuskan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang itu merekodkan sebanyak 2.76 juta tontonan.

gambar 2
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang mencetuskan program Jejak Harmoni bagi menyahut seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu melihat masyarakat hidup aman damai.

Setiausaha akhbar Aaron, Shatesh Kumar Sangar berkata pencapaian itu membuktikan kemampuan JPNIN mempamerkan realiti keharmonian antara rumah ibadat dan penganut agama sambil menghasilkan karya memenuhi selera penonton di Malaysia.

“Melalui enam episod JH, masyarakat dihidangkan dengan penerangan ringkas serta padat mengenai bagaimana hubungan di antara rumah ibadat yang berada berhampiran antara satu sama lain.

“Lebih menarik, ada rumah ibadat membuka ruangan parkir untuk memberi laluan kepada umat Islam menunaikan solat Jumaat setiap minggu bagi memenuhi keperluan meletak kenderaan yang tidak mencukupi,” katanya kenyataan.

Shatesh berkata program itu juga menyahut gagasan dan seruan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu melihat masyarakat hidup dengan harmoni dan aman damai.

“Bertunjangkan Faham, Hormat, Terima – Masyarakat di Malaysia saling faham memahami perbezaan agama dan budaya di negara ini.

“Sifat hormat menghormati mengikut amalan agama juga menjadi paksi kemakmuran serta masyarakat di Malaysia yang hidup dalam keadaan aman dalam negara tercinta ini,” katanya.

Mereka yang ingin menonton enam episod JH boleh menyaksikannya di akaun YouTube HARMONI.

Program mendapat sentuhan Ketua Pengarah JPNIN Che Roslan Che Daud dan Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama JPNIN dihoskan Danial Dashuki dan Daniel Leong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.