Sarawak iktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974

Sarawak iktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974

Azalina Othman Said berkata Petronas dan anak syarikatnya tidak perlu dilesenkan serta tidak tertakluk prosedur tambahan untuk pengoperasian petroleum di Sarawak.

petronas-HQ
Sepanjang tahun lalu, Sarawak telah mendesak Petronas menandatangani perjanjian menjadikan Petros sebagai agregator gas tunggal di negeri itu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Dewan Rakyat diberitahu kerajaan Sarawak mengiktiraf dan menerima Akta Kemajuan Petroleum 1974 atau Akta 144 sebagai akta menentukan tatakelola dasar dan pengoperasian industri petroleum di Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata perkara itu antara dipersetujui dalam mesyuarat antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Abang Johari Openg pada 7 Jan lalu.

Menurut Azalina, menerusi pengiktirafan itu Petronas dan anak-anak syarikatnya tidak perlu dilesenkan serta tidak tertakluk kepada sebarang prosedur tambahan untuk melaksanakan pengoperasian petroleum di Sarawak selain apa yang telah diperuntukkan dalam Akta 144.

“Semua komitmen perjanjian sedia ada yang telah dimasuki antara Petronas dengan pihak-pihak ketiga termasuk Petros berkaitan dengan aktiviti petroleum di Sarawak adalah sah, perlu diterima pakai dan diteruskan tanpa sebarang perubahan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat.

Azalina berkata Petronas juga menerima peranan Petros sebagai agregator gas bukan LNG di Sarawak dan bersedia bekerjasama dengan anak syarikat kerajaan negeri itu.

Jelasnya, kesemua pihak terbabit kini memperhalusi beberapa perkara termasuklah dari segi kesan perundangan yang berkaitan.

“Semangat kerjasama sepenuhnya di antara Petronas dan Petros dalam semua urusan,” katanya.

Bulan lalu, Anwar berkata isu mengenai Petronas dan Petros mengenai hak untuk mengagihkan gas di Sarawak, antara lain, telah diselesaikan berikutan rundingan dan pertemuan dengan Abang Johari.

Menurut Perdana Menteri, Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) terus diterima sebagai rangka kerja utama pengurusan industri minyak dan gas negara.

Selain itu, katanya, Ordinan Pengedaran Gas Sarawak 2016 juga tidak akan menggantikan PDA 74 dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk undang-undang persekutuan lain.

Sepanjang tahun lalu, Sarawak telah mendesak Petronas menandatangani perjanjian menjadikan Petros sebagai agregator gas tunggal di negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.