
Garis panduan tersebut antara lain menyatakan pihak penganjur perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak berautoriti dan perlu mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama Islam jika jemputan melibatkan pemimpin atau orang Islam sebelum sesuatu majlis perayaan dilaksanakan.
Timbalan Presiden M Saravanan menyifatkan langkah itu sebagai tidak perlu dan boleh mengganggu keharmonian.
Beliau bertanya sama ada orang bukan Islam kini perlu mendapatkan kelulusan daripada Jakim sebelum mengundang tetamu Islam dan sama ada kebenaran diperlukan bagi orang Islam untuk memberi penghormatan terakhir kepada rakan bukan Islam yang meninggal dunia.
Saravanan berkata arahan yang dicadangkan itu memperkecilkan usaha pengasas Malaysia yang membina negara ini atas dasar kepercayaan, toleransi, dan muhibah dalam masyarakat majmuk.
“Negara berkembang maju dalam perpaduan dan keputusan yang dicadangkan ini mengganggu keharmonian yang kita pelihara selama beberapa dekad,” katanya.
Saravanan memberi amaran bahawa keputusan itu boleh menjadi liabiliti politik kepada kerajaan, yang berpotensi menyebabkan orang bukan Islam menjauhkan diri.
“Jika kerajaan menyalahkan pembangkang kerana menggunakan kaum dan agama untuk memecahbelahkan rakyat, ia tidak boleh dilihat melakukan perkara yang sama,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan mengadakan libat urus dengan semua komuniti sebelum membuat keputusan yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama.
“Kerajaan mesti memastikan dasar yang melibatkan orang Islam dan bukan Islam dibuat melalui perundingan yang sewajarnya dengan semua kaum,” katanya.
Terdahulu, Na’im dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Jakim sedang memuktamadkan suatu garis panduan yang menggariskan tentang penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan orang selain Islam.
Ia antara lain menyatakan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan mestilah tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh menyentuh sensitiviti masyarakat Islam, contohnya premis yang digunakan tidak mempamerkan simbol keagamaan bukan Islam.
‘Garis Panduan Penglibatan Orang Islam Dalam Majlis Sambutan Perayaan Dan Upacara Kematian Orang Selain Islam Serta Kunjungan Dan Penganjuran Majlis Di Rumah Ibadat Selain Islam’ ini akan dimuktamadkan oleh muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam, pada mesyuarat yang akan diadakan pada 25 hingga 27 Feb.