
Peguamnya, Pathurrahman SH, membaca pernyataan pembantu rumah itu di hadapan Hakim Abdul Wahab Mohamed di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
“Saya kesali tindakan saya dan ingin memohon maaf atas testimoni palsu yang saya berikan di mahkamah Malaysia.
“Testimoni yang saya berikan itu adalah semata-mata agar saya dapat pulang (ke Indonesia),” kata wanita itu, menurut pernyataan dibacakan peguamnya, lapor The Star.
Pembantu rumah itu berkata, dia menghubungi Pathurrahman untuk mendapatkan nasihat guaman pada 20 Mei tahun lepas, dan menyatakan hasratnya untuk menarik balik testimoninya sebelum ini.
“(Pathurrahman) menasihati saya bahawa saya berhak untuk berbuat demikian, dan lebih baik membebaskan orang yang tidak bersalah berbanding membuat tuduhan palsu.”
“Dengan kesedaran penuh, dan tanpa sebarang paksaan atau ugutan daripada mana-mana pihak, saya menarik balik maklumat yang diberikan di Mahkamah Tinggi Malaysia,” menurut pernyataannya.
Pathurrahman dipanggil sebagai saksi oleh pihak pembelaan selepas Mahkamah Persekutuan, pada 2 Nov tahun lepas, membenarkan keterangan tambahan dalam rayuan Yong.
Dalam pernyataan saksinya, Pathurrahman mengesahkan beliau telah menasihati warga Indonesia itu mengenai haknya dari segi undang-undang dan merangka surat notari yang mengesahkan penarikan balik testimoni tersebut pada 22 Mei 2024.
Semasa pemeriksaan balas, pengarah pendakwaan negeri Zaki Abdul Kudos bertanya mengapa pembantu rumah itu, yang fasih berbahasa Malaysia, menulis pernyataan itu dalam bahasa Indonesia.
Pathurrahman menjelaskan bahawa ia berdasarkan kata-kata pembantu rumah itu dalam bahasa Indonesia.
Zaki kemudian mempersoalkan kredibiliti pernyataan itu, mencadangkan ia berdasarkan kata-kata peguam, bukannya wanita itu sendiri.
“Kejadian itu berlaku pada 2019, dengan perbicaraan berakhir dua tahun lepas.
“Bagaimana pembantu rumah itu boleh ingat semua tarikh, alamat majikan dan sebagainya, dengan jelas?” soalnya sambil mendakwa wanita itu mungkin dipaksa menulis pernyataan itu selepas perlindungan saksinya berakhir.
Pathurrahman menegaskan, pernyataan itu adalah berdasarkan penceritaan pembantu rumah itu sendiri tentang kejadian, dan dia telah menyemaknya, serta bersetuju dengan kandungannya sebelum menandatanganinya.
Abdul Wahab kemudian menetapkan 7 Mac untuk mengemukakan pendapatnya, yang akan dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan untuk perbicaraan rayuan yang dijadualkan pada 17 Mac.
Pasukan pembelaan diketuai peguam kanan Hisyam Teh Poh Teik, Rajpal Singh dan Salim Bashir, manakala Zaki dibantu oleh Liyana Zawani Radzi, Nasrul Hadi Abdul Ghani dan Qurratu’aini Khalifah.
Pada 27 Julai 2022, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Yong bersalah merogol pembantu rumahnya, seorang wanita Indonesia berusia 23 tahun, di rumahnya di Ipoh, antara 8.15 malam dan 9.15 malam, pada 7 Julai 2019.
Pada 1 Mac 2024, Mahkamah Rayuan, dalam keputusan majoriti 2-1, mengekalkan sabitan Yong, dengan Hakim Hadhariah Syed Ismail dan Azman Abdullah menyokong dan Hakim S Komathy menentang.
Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengurangkan hukuman penjara Yong daripada 13 tahun kepada lapan tahun, dengan dua sebatan.
Yong merayu keputusan itu kepada Mahkamah Persekutuan, yang membenarkannya mengemukakan keterangan tambahan dalam rayuannya pada 12 Nov.