Ekonomi Bumiputera semakin terjamin, tetapi tidak di Malaysia Timur, kata ahli ekonomi

Ekonomi Bumiputera semakin terjamin, tetapi tidak di Malaysia Timur, kata ahli ekonomi

Walaupun jurang ketidaksamaan antara kaum semakin kecil, jurang dalam kaum kini jadi kebimbangan utama, kata Ririn Salwa Purnamasari.

Sarawak landscape
Keterjaminan ekonomi Bumiputera di Malaysia Timur tidak sekukuh Bumiputera di Semenanjung, menurut pakar ekonomi kanan Bank Dunia Ririn Salwa Purnamasari.  (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keterjaminan ekonomi Bumiputera telah berkembang pesat sepanjang dua dekad lepas, walaupun kemajuan ini tidak sama dirasa di Malaysia Timur, menurut seorang ahli ekonomi Bank Dunia.

Ahli ekonomi kanan Ririn Salwa Purnamasari berkata, hampir 30% Bumiputera dianggap terjamin dari segi ekonomi pada 2020an, berbanding kurang 5% pada awal 2000an.

“Bagaimanapun, kemajuan ini banyak dilihat dalam kalangan Bumiputera di Semenanjung Malaysia, namun tidak bagi Bumiputera di Malaysia Timur,” katanya pada pelancaran laporan Bank Dunia mengenai ketidaksamaan di Malaysia.

Ririn berkata, ini membuktikan perbezaan lokasi masih menjadi faktor utama dalam menilai dan menangani ketidaksamaan pendapatan.

Memetik laporan bertajuk “A Fresh Take on Reducing Inequality and Enhancing Mobility in Malaysia”, beliau berkata, Bank Dunia mendapati pertumbuhan pendapatan Bumiputera lebih pesat berbanding kumpulan etnik lain.

Katanya, pada 2004, purata pendapatan Bumiputera adalah 55% purata pendapatan kaum Cina. Menjelang 2022, purata ini meningkat kepada 61%.

Bagaimanapun, walaupun jurang ketidaksamaan antara kumpulan etnik semakin kecil, katanya, jurang perbezaan dalam kumpulan etnik kini menjadi kebimbangan utama.

Ketika Malaysia berada di landasan yang tepat untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang 2028, Ririn memberi amaran hanya empat daripada 10 rakyat Malaysia akan mencapai status pendapatan tinggi jika pengagihan pendapatan kekal tidak sama rata.

Kesaksamaan, keadilan mestilah jadi prinsip panduan

Lee Hwok Aun, felo kanan Program Pengajian Malaysia Institut Iseas-Yusof Ishak, berkata, kesaksamaan dan keadilan harus menjadi prinsip panduan kerajaan dalam menangani ketidaksamaan.

“Rakyat mahukan jaminan bahawa mereka diberi perhatian. Sudah 55 tahun ada seruan yang konsisten, sejak Dasar Ekonomi Baharu diperkenalkan untuk membantu golongan miskin tanpa mengira kaum,” katanya.

Lee berkata, Putrajaya perlu mentakrif dan menjamin kesaksamaan dengan jelas, khususnya dalam bidang pendidikan dan penjagaan kesihatan.

“Jika ini diisytiharkan sebagai hak asasi rakyat Malaysia, ia akan menjadi perkara yang tidak boleh dikompromi dan rakyat boleh mempertanggungjawabkan kerajaan atas itu,” tambahnya.

Lee juga berkata, meritokrasi dan tindakan afirmatif tidak boleh dilihat sebagai saling eksklusif; beliau percaya bahawa keseimbangan yang saksama boleh dicapai, dengan dasar mengambil kira merit sambil membantu golongan kurang bernasib baik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.