Ahli Parlimen persoal perolehan aset ‘tak strategik’ oleh GLIC

Ahli Parlimen persoal perolehan aset ‘tak strategik’ oleh GLIC

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) antaranya menyebut perolehan Elevate Medini di Johor, The Shore di Melaka oleh PHB guna dana kerajaan.

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, beliau telah menerima memorandum menggesa PHB ‘diselamatkan’. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan perolehan aset oleh Pelaburan Hartanah Bhd (PHB) yang menurutnya, menunjukkan pengurusan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang tidak cekap.

Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, beliau telah menerima memorandum menggesa PHB ‘diselamatkan’.

“(Dikhuatiri) terdapat pembelian aset tak strategik guna dana kerajaan,” katanya ketika membahaskan usul Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Dewan Rakyat.

“Sebagai contoh, Elevate Medini di Johor diperoleh dengan RM400 juta, tetapi nilainya hari ini hanya sekitar RM285 juta, dan masih tiada penyewa.

“(Sama juga dengan) The Shore di Melaka dibeli pada (harga) RM212 juta, tetapi hari ini bernilai RM90 juta.”

Elevate Medini adalah sebuah menara pejabat 32 tingkat di atas podium runcit tiga tingkat di Johor Bahru, manakala The Shore ialah projek pembangunan bercampur di sepanjang Sungai Melaka, terdiri daripada kediaman servis mewah, hotel empat bintang dan pusat beli-belah.

Mas Ermieyati berkata, perolehan projek-projek ini menyerlahkan keputusan pelaburan yang tidak cekap dan salah urus dana, mencetuskan kebimbangan serius tentang ketelusan dan tadbir urus dalam PHB.

Menurutnya, PHB telah menerima geran kerajaan RM1.2 bilion setakat ini, dengan yang terkini sebanyak RM100 juta tahun lepas.

“Banyak perkara yang kita harus lihat bukan sahaja dalam PNB, tetapi juga dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan), GLIC lain, untuk kita berikan integriti pada tatakelola tadbir, (serta) segala aset atau kewangan milik kerajaan dapat kita selamatkan dan juga tidak dibazirkan,” kata Mas Ermieyati.

Beliau berkata, PHB yang ditubuhkan pada 2006 bawah Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) diberi mandat untuk membantu Bumiputera memperoleh aset tanah strategik.

“(Bagaimanapun) hanya 80,000 Bumiputera memiliki unit AHB, sedangkan yang selebihnya dijual kepada institusi Bumiputera,” tambahnya.

PHB menguruskan AHB, dana unit amanah yang membolehkan Bumiputera melabur dalam hartanah komersial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.