
Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata undang-undang membolehkan kerajaan menetapkan vape hanya untuk kegunaan golongan tertentu sahaja, seperti perokok yang ingin berhenti merokok, dan bukan untuk dijual secara terbuka kepada semua, terutama remaja.
Malah, tujuan asal rokok elektronik ialah sebagai alternatif bagi perokok untuk berhenti merokok, menurut pakar perubatan kesihatan awam dan ekonomi kesihatan ini.

“Remaja dan mereka yang tak merokok tanpa sebab tak perlu guna vape ini dan benda ini tak perlu dijual kepada remaja,” katanya kepada FMT.
Sharifa berkata masyarakat sendiri menyaksikan banyak penyalahgunaan vape, yang dijual secara berleluasa. “Walaupun orang tak merokok tapi guna juga vape ini, perkara ini sepatutnya tak berlaku.”
“Kerajaan sepatutnya hanya membenarkan mereka yang betul-betul perlukan vape ini iaitu kepada golongan perokok yang tak boleh berhenti merokok dengan cara biasa dan memerlukan bantuan dari penggunaan vape sebagai alternatif.”
Pada 30 Jan lalu, setiausaha politik kanan kepada perdana menteri berpandangan bahawa agak sukar untuk kerajaan membuat keputusan drastik mengharamkan vape, menurut laporan Berita Harian.
Shamsul Iskandar Mohd Akin mendedahkan pemain industri vape majoritinya dalam kalangan anak muda dengan mereka meraih pendapatan sangat lumayan hasil jualan rokok elektronik terbabit.
Beliau melihat yang lebih penting ketika ini adalah aspek kawalan, khususnya bagaimana pemain industri vape mengawal ‘ekosistem’ perniagaan mereka supaya tidak dicemari penjualan cecair vape yang dicampur bahan terlarang.
Dr Nur Amani Natasha Ahmad Tajuddin dari Universiti Malaya bagaimanapun berusaha membetulkan ‘salah faham’ mengenai kandungan cecair vape.

“Cecair vape mengandungi hampir 2,000 bahan kimia berbahaya menurut kajian dari Universiti Johns Hopkins pada 2021,” kata pakar perubatan keluarga ini.
Amani menyenaraikan beberapa bahan seperti nikotin, yang menurutnya penyebab utama ketagihan dan dikaitkan dengan beberapa penyakit seperti strok, serangan jantung, dan lemah jantung; beberapa jenis kanser seperti pankreas, paru-paru, payudara, esofagus, serviks, dan pundi kencing; dan mengganggu sistem peranakan.
Beliau turut menyenaraikan logam seperti nikel, kromium, arsenik (dikaitkan dengan kanser), kobalt (dikatakan toksik kepada paru-paru), dan kadmium (dikaitkan dengan kerosakan buah pinggang dan kanser). “Logam berat dalam cecair vape ini juga berkaitan dengan kesihatan mental iaitu kemurungan,” katanya.
Amani turut bimbang dengan kehadiran pewarna dan perisa makanan tiruan dalam ‘jus’ vape. “Pewarna dan perisa makanan tiruan dicipta untuk makan. Ia akan melalui sistem penghadaman dan akan dicerna, sebahagian dibuang melalui air kencing atau najis. Apabila disedut ke dalam paru-paru ia merosakkan sel-sel pernafasan,” katanya.
Justeru, beliau yang juga timbalan penyelaras Kumpulan Penyelidik Ketagihan Nikotin, menggesa kerajaan untuk tidak beri ruang kepada penggunaan vape sama sekali, termasuk sebagai terapi berhenti merokok.
“Ia tidak membantu untuk berhenti merokok. Kajian saintifik membuktikan pengguna vape yang berhenti merokok, mereka kemudian akan bertukar semula kepada merokok, atau menjadi pengguna berganda vape dan rokok,” katanya.
Amani, yang juga penyelaras Kumpulan Penyelidik Ketagihan Nikotin menyeru kerajaan mengambil contoh negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Brunei yang mengharamkan vape.
“Kos rawatan untuk penyakit akibat vape adalah lebih tinggi secara total daripada hasil kutipan cukai vape,” katanya.
“Impak negatif sangat banyak terhadap kerajaan dan rakyat akibat daripada vape yang ‘dihalalkan’ berbanding hanya satu impak positif kepada peniaga dan pemain industri vape. Jadi dengarlah nasihat dari mereka yang arif,” katanya.