
Bekas perdana menteri itu berdepan satu pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan semasa kempen PRK Nenggiri di Gua Musang, Kelantan, tahun lalu.
Peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Muhyiddin memaklumkan mahkamah bahawa pihak pembelaan bercadang untuk memfailkan permohonan rujukan bagi mempersoalkan keabsahan peruntukan tertentu dalam Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Persekutuan.
Hakim Jamil Hussin menetapkan 3 Mac untuk pengurusan kes sementara menunggu pembelaan memfailkan permohonan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi.
Muhyiddin mendakwa memperoleh sokongan majoriti 115 ahli Parlimen selepas PRU 2022, dan mempersoalkan mengapa beliau tidak dijemput oleh Yang Di-Pertuan Agong ketika itu untuk mengangkat sumpah sebagai perdana menteri buat kali kedua.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948, yang memperuntukkan denda sehingga RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Muhyiddin pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang Ogos lalu.
Pada 27 Nov tahun lepas, Hakim Azmi Abdullah membenarkan permohonannya untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.