
Khaled Nordin beritahu Dewan Rakyat bahawa PLKN 1.0 sebelum ini menelan belanja RM565 juta setahun untuk 71,300 peserta, dengan purata RM7,900 bagi setiap peserta.
Sementara itu, PLKN 2.0 mencatat kos lebih tinggi iaitu RM18,000 bagi setiap peserta, dengan peruntukan RM361 juta setahun untuk 20,000 peserta.
“Bagaimanapun, bagi PLKN 3.0, kos tahunannya RM200 juta tetapi melibatkan peserta melebihi 100,000 orang dengan kos setiap pelatih hanya RM2,00,” katanya menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).
Syed Saddiq bertanya mengenai kos melaksanakan PLKN 3.0.
Khaled turut menjelaskan bahawa selain dilaksanakan secara sukarela, PLKN 3.0 akan lebih menyeluruh.
Menurutnya, program ini akan menekankan aspek kedaulatan negara dan disiplin mental, serta merangkumi latihan ketenteraan ringan dan pembelajaran berstruktur mengikut peringkat umur peserta.
“Program ini akan diadakan di kem Wataniah, universiti dan politeknik. Ia bertujuan menerapkan nilai-nilai seperti disiplin dan patriotisme,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) mengenai perbezaan ketiga-tiga program berkenaan.
PLKN diperkenalkan pada 2004 oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum dihentikan pada 2015. Ia diperkenalkan semula setahun kemudian sebelum dimansuhkan pada 2018 ketika Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran.