Kadar keciciran pelajar sekolah menengah, rendah menurun

Kadar keciciran pelajar sekolah menengah, rendah menurun

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pada tahun lalu kadar keciciran pelajar sekolah menengah dan rendah menurun kepada 13,007 orang.

spm
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pada tahun lalu seramai 2,873 pelajar sekolah menengah dan rendah yang tercicir berjaya dikembalikan ke sekolah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kadar keciciran murid sekolah rendah dan menengah dilaporkan menurun secara keseluruhannya daripada 21,748 orang pada 2020 kepada 13,007 orang tahun lepas.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata daripada jumlah itu, 2,873 pelajar merangkumi 883 murid sekolah rendah dan 1,990 murid sekolah menengah dikembalikan ke sekolah pada tahun lepas.

“Pada 2020, di peringkat sekolah rendah kadar keciciran adalah 0.10% atau 2,437 murid manakala pada 2024, ia menurun kepada 0.06% membabitkan 1,595 murid.

“Di sekolah menengah pula, pada 2020 kadar keciciran 1.13% melibatkan 19,311 pelajar dan kadar itu menurun kepada 0.64% pada 2024 melibatkan 11,412 orang,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang ingin tahu mengenai jumlah pelajar tercicir di semua peringkat, dan adakah kerajaan bercadang untuk menambah Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) dan Sekolah Model Khas Komprehensif 11 (K11) di kawasan tertentu dalam menangani isu keciciran pelajar.

Wong berkata setakat ini terdapat 28 sekolah K9 dan dua sekolah K11 iaitu di Betau, Pahang dan Long Bedian, Sarawak.

“Pada tahun ini pihak KPM (Kementerian Pendidikan) bercadang untuk menambah bilangan sekolah K9 ini sebanyak tujuh sekolah serta lokasi dan nama sekolah akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, KPM juga sedang menilai kebolehlaksanaan untuk menjadikan sebahagian daripada sekolah K9 sedia ada kepada sekolah K11. Ini sebahagian daripada usaha KPM untuk menangani isu keciciran,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan berasingan mengenai isu rokok elektrik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah, Wong berkata terdapat peningkatan dalam trend penggunaan rokok elektrik membabitkan golongan berkenaan iaitu 0.39% daripada keseluruhan murid atau 19,450 orang tahun lepas, berdasarkan statistik yang direkodkan dalam Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM).

“Bagi rokok pula, ia mencatatkan satu trend penurunan, pada 2024 jumlah murid yang dilaporkan ialah 3,704 bersamaan dengan 0.07% daripada keseluruhan murid.

“Untuk semua kes yang terbabit, KPM mengambil tindakan terhadap murid-murid yang terbabit berpandukan garis panduan dan juga surat siaran sedia ada,” katanya menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu statistik terkini pelajar yang terlibat dengan gejala vape.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.