Ekhwan mahu tumpu ‘hal lain’, Zambry hormat keputusan letak jawatan NC UKM

Ekhwan mahu tumpu ‘hal lain’, Zambry hormat keputusan letak jawatan NC UKM

Mohd Ekhwan Toriman sebelum ini secara sinis dilaporkan berterima kasih atas segala fitnah dan tomahan dilontarkan terhadapnya

Mohd Ekhwan Toriman menyerahkan surat peletakan jawatan NC UKM berkuasa kuasa Ahad lalu. (Gambar UKM)
PETALING JAYA:
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir mengesahkan telah menerima surat peletakan jawatan Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohd Ekhwan Toriman.

Beliau berkata pihaknya akan bertemu Ekhwan dalam masa terdekat untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

“Saya sahkan beliau telah hantar surat. Saya dan pun terima surat peletakan jawatannya beberapa hari yang lalu.

“Beliau memaklumkan mahu beri tumpuan kepada hal-hal yang lain, jadi atas semangat itu saya akan berjumpa dengan beliau nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan forum dan pameran pendidikan tinggi Malaysia-Uzbekistan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Zambry berkata pelantikan NC UKM akan dibuat melalui proses lantikan sedia ada, sambil mengucapkan terima kasih kepada Ekhwan kerana telah menjalankan tanggungjawab mengetuai institusi pendidikan itu dengan cemerlang.

“Beliau merupakan naib canselor yang baik, dihormati rakan-rakan, namun kita hormati keputusan beliau untuk letak jawatan,” katanya.

Terdahulu, Ekhwan memaklumkan peletakan jawatannya sebagai NC UKM berkuat kuasa Ahad lalu.

Dalam kenyataan, beliau ‘terima kasih atas segala fitnah dan tomahan yang dilontarkan yang mana laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah dibuat.’

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan butiran lanjut.

Sementara itu, UKM dalam satu perkongsian di media sosialnya mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti dan jasa Ekhwan sepanjang menjawat jawatan itu.

Beliau kali pertama dilantik bagi jawatan itu pada 1 Jan 2021 hingga 31 Dis 2023 sebelum perkhidmatannya disambung semula.

Ekhwan, 56, adalah graduan UKM pada 1992 (Ijazah Am) dan 1993 (Ijazah Kepujian) dalam bidang Geografi (fizikal), Fakulti Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan.

Beliau seterusnya memperoleh sarjana (MSc) daripada University of Manchester serta Doktor Falsafah (PhD) daripada University of Newcastle Upon Tyne UK dalam bidang Pemodelan Hidrologi Sekitaran, Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Pengurusan Sumber Air.

Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Akademik dan Pembangunan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi serta jawatan pentadbiran dan akademik yang lain seperti Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Pembangunan), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sementara itu, polis mengesahkan menerima laporan daripada Ekhwan berhubung dakwaan fitnah dan tohmahan yang dilontarkan kepadanya.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memberitahu Bernama, dua laporan polis itu dibuat pada petang semalam oleh Ekhwan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Difahamkan, laporan polis itu berkait dakwaan tular di media sosial yang mendakwa terdapat unsur salah guna kuasa dan penyelewengan di UKM yang mengaitkan Ekhwan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.