Bukan lawan dasar Islam, tapi dedah ‘wajah sebenar’ DAP, kata pemimpin Gerakan

Bukan lawan dasar Islam, tapi dedah ‘wajah sebenar’ DAP, kata pemimpin Gerakan

Oh Tong Keong berkata ketegasan perlu disuarakan sekiranya wujud layanan tidak adil.

oh tong keong
Oh Tong Keong membidas DAP yang kini bersifat berbeza apabila berada dalam kerajaan berbanding sebagai pembangkang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menjelaskan beliau tidak menentang dasar Islam tetapi menekankan ketegasan perlu disuarakan sekiranya wujud layanan tidak adil atau ‘pengaruh’ kehidupan harian serta adat budaya masyarakat bukan Islam.

Oh berkata kenyataan beliau sebelum ini bukan meremehkan kedudukan Islam tetapi mendedahkan ‘wajah sebenar’ DAP yang berpendirian berbeza ketika berkuasa berbanding masa menjadi pembangkang.

“Mereka hampir tidak bersuara dalam isu berkaitan hak orang bukan Islam, serta tidak dapat menyemak semula sebarang dasar yang tidak menguntungkan bukan Islam.

“Ketika DAP menjadi pembangkang, mereka berkali-kali secara lantangnya menentang pelbagai dasar melibatkan Islamisasi dan mengkritik kerajaan kerana mengabaikan hak orang bukan Islam. Namun sekarang hanya berdiam diri apabila berada dalam kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, ini bercanggah dengan sifat parti itu yang dahulunya menuduh parti politik lain tidak berani mencabar dasar perkauman dan agama tetapi kini menjadi pelaksana dasar.

Menurut Oh, kemiskinan merupakan isu sejagat dan bukan hanya dihadapi kaum tertentu maka sebarang dasar berkaitan perlu dilaksana secara adil dan saksama tanpa mengira kaum.

“Itu dasar baik jika dapat membantu rakyat miskin dari semua kaum secara sama rata.

“Namun jika kerajaan memperkenalkan dasar perumahan rakyat tetapi hanya membenarkan kaum tertentu membelinya, maka ia adalah satu dasar yang tidak adil dan Gerakan akan menentangnya.” katanya.

Beliau memberi penjelasan itu susulan kenyataan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh yang mengecam beliau yang mengkritik DAP kerana tidak menentang dasar Islam negara semalam.

“Tiada sesiapa pun boleh cuba menggugat perkara itu, langkah mayat kami dahulu,” kata Akmal sambil menegaskan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta hak istimewa orang Melayu tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.