5 program dianjur sempena minggu keharmonian agama

5 program dianjur sempena minggu keharmonian agama

Antara program akan dianjur Kementerian Perpaduan Negara termasuk Jejak Harmoni Metasemesta serta Dialog Harmoni.

Aaron Ago Dagang berkata Kementerian Perpaduan Negara fokus kepada inisiatif bagi memperkukuh keharmonian antara agama. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan menganjurkan lima program utama sempena sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia yang disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun.

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata, program Jejak Harmoni Metasemesta akan diadakan pada 14 hingga 16 Feb; Perarakan Harmoni pada 15 dan 16 Feb, Program Jejak Harmoni 15 Feb; Dialog Harmoni 16 Feb dan Mesyuarat Jawatankuasa Harmoni pada 19 Feb.

“Semua program ini adalah sebagai langkah untuk menyemarakkan sambutan Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia.

“Kementerian akan terus memberikan fokus pada inisiatif bagi memperkukuh keharmonian antara agama,” katanya dalam kenyataan.

Aaron Ago Dagang mengucapkan selamat menyambut minggu keharmonian antara penganut agama sedunia yang disambut pada minggu pertama Februari setiap tahun.

Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia (World Interfaith Harmony Week) ialah acara tahunan yang diiktiraf dalam resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Okt 2010.

Aaron berkata, keharmonian antara penganut agama merupakan tonggak penting dalam usaha kerajaan mewujudkan negara yang sejahtera.

Semangat itu tidak hadir secara sendiri, katanya, sebaliknya memerlukan usaha berterusan daripada setiap lapisan masyarakat terutamanya pemimpin agama.

“Usaha ini bagi memastikan prinsip toleransi dan saling hormat menghormati dapat ditegakkan dalam kehidupan seharian. Kita perlu memastikan perbezaan agama tidak menjadi penghalang hubungan baik antara satu sama lain.”

Beliau berkata, keharmonian tidak boleh dicapai sekiranya sikap toleransi hanya diamalkan secara pasif; ia memerlukan komitmen aktif bagi membina hubungan yang kukuh antara komuniti agama agar semua lapisan masyarakat dapat hidup dalam suasana harmoni.

Sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip ‘Harmoni Dalam Kepelbagaian’, Aaron berkata, rakyat Malaysia perlu bekerjasama memperkukuh ikatan antara agama, etnik dan budaya kerana rakyat negara ini mempunyai tanggungjawab sebagai ejen perubahan dalam membina Malaysia Madani yang aman, damai dan sejahtera.

“Faham, hormat dan terima adalah nilai yang perlu diterapkan dalam setiap lapisan masyarakat bagi memastikan negara kita terus menjadi contoh kepada dunia tentang bagaimana kepelbagaian agama serta budaya boleh digabungkan untuk mencipta satu negara yang benar-benar harmoni,” katanya.

Aaron turut mencadangkan agar lebih banyak forum antara agama dianjurkan pada pelbagai peringkat melibatkan tokoh agama, akademik, pemimpin masyarakat serta golongan muda kerana sesi seumpama itu penting untuk memecahkan tembok prasangka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.