Tuduhan terhadap ibu bapa Zayn Rayyan tak cacat, kata hakim

Tuduhan terhadap ibu bapa Zayn Rayyan tak cacat, kata hakim

Hakim Syahliza Warnoh memutuskan pertuduhan dihadapi Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf tidak cacat serta mengikut peruntukan Kanun Prosedur Jenayah.

ikhwan zahari ismanira
Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf meninggalkan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.
PETALING JAYA:
Mahkamah Sesyen di sini menolak bantahan awal ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang berhujah pertuduhan pengabaian kanak-kanak autisme itu terhadap mereka bersifat cacat.

Hakim Syahliza Warnoh memutuskan pertuduhan yang dikemukakan pihak pendakwaan mengikut peruntukan Kanun Prosedur Jenayah (CPC).

“Tiada unsur dalam pertuduhan yang menunjukkan tertuduh dinafikan untuk membangkitkan pembelaan sewajarnya,” katanya yang memerintahkan perbicaraan dimulakan petang ini.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang berusia 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di PJU Damansara Damai antara tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pasangan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang boleh didenda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Zayn Rayyan dilaporkan hilang pada 5 Dis 2023 dan mayatnya ditemui di sungai dekat rumahnya di Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, keesokannya.

Dia dipercayai dibunuh, selepas bedah siasat mendedahkan kecederaan di leher dan badannya konsisten dengan luka mempertahankan diri.

Terdahulu, peguam utama pasangan itu, Haresh Mahadevan berhujah pertuduhan terbabit tidak jelas kerana gagal menyatakan bagaimana mereka mengabaikan mangsa.

“Peruntukan dalam CPC tidak dipatuhi dan tertuduh tidak akan dapat memberikan pembelaan berkesan,” katanya yang dibantu Ramzani Idris dan Lavanesh Mahadevan.

Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz berhujah Seksyen 152 CPC membenarkan cara jenayah dilakukan dikeluarkan daripada kertas pertuduhan.

“Elemen pertuduhan akan dibuktikan dengan membawa saksi memberi keterangan di mahkamah,” katanya yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Iman Ahmad Sapian.

Beliau berkata, keterangan yang dikemukakan akan menunjukkan Zayn Rayyan berada di bawah jagaan dan kawalan tertuduh, serta pengabaian mereka menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.

Pada permulaan prosiding hari ini, hakim menolak permohonan tertuduh menangguhkan perbicaraan sementara menunggu perbicaraan berkaitan di Mahkamah Tinggi selesai.

Tertuduh memfailkan usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 21 Jan lalu memohon pengisytiharan bahawa pertuduhan itu cacat dan mereka dibebaskan.

Haresh memberitahu Syahliza wajib mendengar bantahan awal pihak pembelaan, yang menyebabkan pendengaran dan keputusan dibuat pagi tadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.