
Charles Santiago yang sebelum ini mengetuai pusat ekonomi dan penyelidikan berkata, syarikat semikonduktor AS mempunyai kehadiran besar di Malaysia, dengan lebih 200 firma berpangkalan di Pulau Pinang.

Tarif itu akan menyebabkan kenaikan kos pengeluaran dan produk, serta boleh memaksa mereka memindahkan pengeluaran ke negara lain.
“Tarif Trump akan menjejaskan syarikat AS dan Malaysia kerana ia akan memberi kesan kepada produk lain yang boleh menyebabkan kenaikan inflasi serta kehilangan pekerjaan,” katanya kepada FMT.
Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100% ke atas eksport negara kumpulan BRICS, termasuk Malaysia, jika mereka meneruskan penggantian dolar AS sebagai mata wang rizab antarabangsa.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, Malaysia perlu berwaspada kerana mempunyai pasaran eksport besar di AS, khasnya dalam elektronik dan semikonduktor.
“Jika Malaysia dimasukkan dalam senarai tarif, kita perlu merangka dasar sesuai bagi mengurangkan kesannya,” katanya yang juga penasihat kerajaan.
Beliau berkata, antara langkah yang boleh mengurangkan kesan tarif ialah mencari strategi untuk mendahului dan mengatasi sebarang tindakan tarif sebelah pihak oleh AS.
Jika gagal, perlu ada satu dasar respons tarif, bekerjasama rapat dengan industri untuk membangunkan strategi bagi mengurangkan sebarang kesan negatif ke atas ekonomi Malaysia.
Yeah berkata, harga mungkin meningkat berganda semalaman dalam industri seperti sarung tangan perubatan, semikonduktor dan komponen elektrik.
“Syarikat boleh memilih memindahkan rantaian bekalan mereka ke AS atau beralih ke negara lain, menyebabkan penurunan mendadak dalam eksport untuk Malaysia. Ini akan memberi kesan ke atas ekonomi.”

Namun, beliau bersetuju Malaysia perlu memantau dengan teliti dasar tarif Trump bagi mengelakkan akibat tidak diingini. “Jika ada implikasi, kita perlu berunding dengan AS untuk memastikan tiada implikasi kepada ekonomi Malaysia.”