Tak puas hati kerajaan cabar keputusan mahkamah, pesara rancang himpunan raksasa

Tak puas hati kerajaan cabar keputusan mahkamah, pesara rancang himpunan raksasa

Kumpulan itu sasar 10,000 pesara dan veteran tentera dalam himpunan dirancang pada April.

Sekumpulan bekas tentera ke Jabatan Hal Ehwal Veteran bagi mendapatkan penjelasan berhubung kaedah kiraan pencen susulan pelaksanaan SSPA.
PETALING JAYA:
Sekumpulan pesara, termasuk bekas tentera merancang mengadakan himpunan raksasa pada April bagi membantah keputusan kerajaan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi untuk menyemak dan menyelaraskan pencen berdasarkan gaji akhir.

Jurucakap kumpulan itu, Rafique Ahmad Nordin, berkata mereka sasar menghimpunkan 10,000 pesara dan veteran untuk menuntut kerajaan melaksanakan perintah mahkamah.

Pada 16 Jan, hakim Mahkamah Tinggi memutuskan pesara berhak mendapat pencen yang disemak hasil daripada pekeliling 2016, dan memerintahkan kerajaan membuat pembayaran dalam tempoh tiga bulan.

Rafique, yang juga pesara pegawai tentera laut, berkata himpunan itu dijadual pada 19 April. Katanya, setakat ini tidak maklum balas bagi permintaan bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pesara kecewa dengan Jabatan Peguam Negara yang memfailkan notis rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.

Rafique berkata, kumpulan berkenaan juga kecewa kerana kerajaan tidak mempunyai isu untuk menyelaraskan pencen bagi pesara hakim yang dimaklumkan antara RM200,000 hingga RM400,000.

“Kami mahu penjelasan,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini, The Edge memetik pegawai kanan Jabatan Peguam Negara yang mengesahkan bekas hakim menerima tunggakan pencen dan semakan pada November.

Pencen kepada bekas hakim berbangkit daripada skim gaji baru dilaksanakan pada 2015. Namun, mereka bersara sebelum tahun itu menerima pencen berdasarkan gaji pokok sebelum ini.

Tindakan undang-undang dilakukan bekas hakim, Ian Chin Hon Chong, menyaksikan beliau dianugerahkan pampasan RM301,768, daripada kekurangan bayaran pencen kepadanya antara Julai 2015 dan Februari 2022.

Rafique berkata, keputusan untuk membetulkan sistem saraan hakim, tetapi mengabaikan yang lain adalah satu bentuk diskriminasi terhadap pesara berpendapatan rendah, yang menyumbang besar kepada pembangunan negara.

Beliau mendakwa, Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dilaksanakan bermula Disember tidak menurut undang-undang, di mana pencen mesti diselaraskan setiap kali semakan gaji dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.