
Sambil menyifatkan modus operandi sindiket sebagai sangat licik dan mengelirukan, Presidennya Freddie Fernandez berkata ramai artis bersetuju menerima tawaran kerana seolah-olah menjalankan perniagaan sah .
“Mereka mungkin tidak sedar dieksploitasi sindiket. Kebanyakan mereka menerima tawaran ini kerana selain daripada membuat persembahan, menjadi duta produk atau menerima tajaan juga sumber pendapatan utama mereka.
“Maka dapatkan nasihat profesional jika perlu, terutama dalam hal-hal berkaitan kewangan dan perundangan.
“Jangan terburu-buru menandatangani sebarang kontrak tanpa memahami implikasinya,” katanya dalam kenyataan sambil meminta semakan teliti turut dibuat sebelum menerima tawaran membabitkan bayaran tinggi atau luar biasa.
“Impaknya besar jika terpalit dengan kes sebegini. Ia bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi artis berkenaan, tetapi juga mencemarkan kepercayaan masyarakat terhadap industri hiburan secara keseluruhannya,” katanya.
Semalam, media melaporkan beberapa selebriti termasuk artis legenda dan ikon inspirasi berada dalam radar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ini susulan pembabitan mereka dengan sebuah syarikat perunding kewangan yang menipu ratusan juta ringgit.
Ada di antara mereka dibayar mencecah hingga RM400,000 hanya untuk menjadi ‘duta rasmi’ kepada perkhidmatan syarikat berkenaan.