
Pengerusinya Dr Ismail Salleh berkata sebaiknya peranan itu termasuk menyelesaikan masalah bekalan beras putih tempatan perlu terus digalas Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) tanpa diganggu mana-mana pihak semata-mata demi kepentingan politik.
“Masalah dalam negeri seperti Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Limau pun tak selesai, sekarang nak ambil kesempatan kata nak pegang (urus) hal padi dan beras pula…lagilah susah nak selesai.
“Kita ada bidang kuasa masing-masing, kalau beliau nak sangat jaga beras….nanti PRU bertanding lah di persekutuan,” katanya kepada FMT sambil meminta pemimpin PAS itu tidak menangguk di air keruh.
Jumaat lalu, Sanusi menggesa supaya kuasa menguruskan tanaman dan industri padi diberikan kepada kerajaan negeri dalam usaha menangani isu kekurangan bekalan beras tempatan.
Mengulas lanjut, Ismail berkata KPKM sedang mencari penyelesaian masalah terbabit dengan meneliti keseluruhan rantaian bermula dari penanaman padi sehingga penjualan beras.
Menurutnya, satu pemukiman akan diadakan dalam masa terdekat untuk melaksanakan perubahan jangka pendek dan panjang yang dijangka mampu membantu negara menguasai semula industri padi serta beras.
Ismail menjelaskan Mada pada pemukiman itu akan mencadangkan harga beras tempatan ditetapkan kerajaan mengikut kadar pasaran, bukan lagi oleh kilang padi tertentu.
“Selepas dari pemukiman itu, KPKM akan bentangkan kertas kerja untuk dibawa perhatian dan kelulusan Jemaah Menteri.
“Ini termasuk penetapan harga baharu padi, beras dan benih padi. Kita kena tengok ketiga-tiga aspek ini, tak boleh nak tengok satu-satu kerana semua saling berkait. Baru boleh selesai isu padi dan beras,” katanya yang turut mencadangkan kelompangan Akta 522 atau Akta Kawalan Padi dan Beras diteliti.
“Contohnya akta itu tidak menyentuh kesalahan campuran beras dan penukaran kampit, jadi nak dakwa atas seksyen apa?
“Akta ini dari dulu ada kelemahan dan sekarang semakin memuncak selepas harga beras import meningkat,” katanya merujuk kartel mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan mencampurkan beras dan menukar kampit.