Bunuh pelajar vokasional: 28 Feb keputusan 13 remaja bebas atau bela diri

Bunuh pelajar vokasional: 28 Feb keputusan 13 remaja bebas atau bela diri

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Duncan Sikodol selepas prosiding semakan status hujahan semua pihak diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom.

kolej vokasional 13 pelajar
Seramai 13 pelajar berusia antara 16 hingga 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di bilik asrama Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac tahun lepas. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Feb sebagai tarikh keputusan sama ada 13 pelajar kolej vokasional perlu membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac tahun lepas.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Duncan Sikodol selepas prosiding semakan status hujahan semua pihak diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom hari ini.

Perbicaraan kes itu berlangsung selama 12 hari bermula 19 Nov lepas dengan 25 saksi dipanggil untuk memberi keterangan.

Sekiranya hakim bicara mendapati pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie terhadap remaja berusia 16 hingga 19 tahun itu, mereka akan dipanggil untuk membela diri dan jika mahkamah memutuskan sebaliknya, semua tertuduh akan dibebaskan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif serta dibantu Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Prosiding turut dihadiri oleh peguam tertuduh Ram Singh, Kamarudin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, yang mewakili lapan daripada 13 tertuduh.

Lima lagi tertuduh diwakili oleh peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian Thien, Jhesseny P. Kang serta Kusni Ambotuwo.

Semua remaja berkenaan dituduh bersama-sama membunuh Nazmie di Bilik Asrama 7 Resak dan 5 Belian, Kolej Vokasional Lahad Datu, antara kira-kira pukul 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta tidak lebih daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.